Inspektor didakwa terima rasuah

Sahrol Zaman didakwa menerima rasuah berjumlah RM6,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Sahrol Zaman didakwa menerima rasuah berjumlah RM6,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,000, enam tahun lalu.

Inspektor Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menerima wang RM1,000 daripada seorang lelaki yang diketahui ada kena mengena dengan urusan rasmi sebagai pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat lelaki tersebut dan rakannya bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa menerima wang RM500 daripada lelaki lain sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki yang terbabit dalam siasatan di bawah seksyen yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 2.10 petang dan 5 petang, 8 Mei 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Sahrol Zaman didakwa telah menerima wang RM1,500 daripada lelaki yang sama melalui pindahan wang telegrafik ke akaun miliknya di sebuah bank cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada jam 6.49 petang, 8 Mei 2014.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh telah menerima wang RM3,000 daripada lelaki sama melalui mesin deposit wang di sebuah bank Cawangan Silibin, Ipoh, kira-kira jam 12.01 tengah hari pada 14 Mei 2014.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Sharullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhamad Aizat Fakri.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM12,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 27 Mac depan.