Sindiket beli kad ATM untuk penipuan tumpas, dua ditahan

Polis Kota Kinabalu berjaya menumpaskan sindiket membeli kad ATM dengan penahanan dua individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Polis Kota Kinabalu berjaya menumpaskan sindiket membeli kad ATM dengan penahanan dua individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Kota Kinabalu berjaya menumpaskan sindiket membeli kad mesin juruwang automatik (ATM) dengan penahanan dua individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tangkapan tersebut dibuat pada jam 7.30 malam, pada 6 Mac lalu.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai membeli kad ATM dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 untuk digunakan dalam kegiatan penipuan tanpa pengetahuan pemilik asal.

"Semasa tangkapan, polis turut merampas 10 keping kad ATM dari pelbagai institusi kewangan yang dipercayai milik individu lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B kanun yang sama.

Sementara itu, Kasim turut memaklumkan dalam tempoh lima bulan lalu, pihaknya telah menjalankan tiga serbuan di sekitar daerah ini yang membawa kepada tangkapan seramai 21 individu.

"Turut dirampas sebanyak 125 keping kad ATM dari pelbagai institusi kewangan dan kesemua tangkapan tersebut disiasat di bawah dua seksyen yang sama di atas," katanya.

Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai agar tidak menjual, menyewa atau menyerahkan kad ATM peribadi kepada mana-mana individu atau pihak tertentu, kerana ia oleh digunakan untuk kegiatan penipuan tanpa pengetahuan pemilik asal.

"Sekiranya kad ATM digunakan bagi tujuan penipuan, pemilik kad boleh dikenakan tindakan undang-undang dan didakwa di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM100,000.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik kad juga boleh dikenakan penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!