Kesal Tun M pertahan Waytha Moorthy

Lebih 50 ahli Umno bahagian Parit Buntar mengadakan perhimpunan aman mendesak Waytha Moorthy dipecat dari jawatan menteri kabinet selepas membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar, hari ini.
Lebih 50 ahli Umno bahagian Parit Buntar mengadakan perhimpunan aman mendesak Waytha Moorthy dipecat dari jawatan menteri kabinet selepas membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar, hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Umno Bahagian Parit Buntar kesal tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy yang mengeluarkan kenyataan fitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara suatu ketika dahulu.

Timbalan Ketuanya, Shahrul Nizam Razali berkata, susulan tindakan melampau pemimpin Hindraf itu memburukkan imej negara dan berniat menghasut rakyat supaya membenci kerajaan BN terdahulu, kerajaan PH seharusnya akur kehendak rakyat yang mahu Waytha Moorthy dipecat.

“Susulan itu, lebih 50 ahli Pemuda, Puteri, Wanita dan kepimpinan Umno bahagian Parit Buntar hari ini membuat laporan polis ke atas Waytha Moorthy susulan hasutan yang dilakukan menerusi rakaman video yang dianggap keterlaluan dan memburukkan imej negara.

“Kami tidak mahu berkompromi dengan ucapan Waytha Moorthy menerusi video terbabit yang dilihat berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan serta perasaan tidak suka kepada kerajaan terdahulu.

Menurutnya, kesemua ahli Umno bahagian Parit Buntar akan kekal mendesak supaya Waytha Moorthy segera dipecat daripada memegang jawatan Menteri Perpaduan kerana sifat pemimpin itu gemar melakukan perbuatan hasutan, meningkat rasa benci dan penghinaan kepada kerajaan terdahulu tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

“Kami turut kesal dengan tindakan pemimpin kerajaan PH yang berterusan mempertahankan pemimpin Hindraf meskipun kenyataannya dalam video terbabit mencetuskan kemarahan seluruh orang Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Parit Buntar di sini pada jam 10 pagi dan turut dihadiri Ketua Umno bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Md Ali; Ketua Wanita Umno bahagian, Norsalewati Mat Norwani dan Ketua Pemuda Umno Parit Buntar, Shamsul Hussin.

Sementara itu, Norsalewati berkata, Wanita Umno bahagian mahu Waytha Moorthy disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, kami juga mendesak supaya beliau menyelesaikan segera isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menimbulkan polemik dan kontroversi.

“Wanita Umno berpandangan, isu ICERD yang dicetuskan menteri perpaduan itu dilihat mengakibatkan perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Norsalewati berkata, dakwaan masyarakat India di Malaysia didiskriminasikan ketika di bawah pentadbiran kerajaan BN oleh pemimpin Hindraf itu bukan saja berniat jahat malah satu fitnah terbesar.

“WMoorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dengan hak bukan Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara, ini dipercayai boleh menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.