Tular keluarga daif hidup tanpa elektrik, rumah dipenuhi sampah

KLUANG – Sebuah keluarga di Kampung Padang Tembak di sini hidup dalam keadaan daif dengan rumah yang dipenuhi timbunan sampah serta tanpa bekalan elektrik sejak 2016.
Rakaman video tular di media sosial menunjukkan keadaan rumah berkenaan yang berselerak dengan sampah dari ruang tamu hingga ke dapur, selain kelihatan dua kanak-kanak menceritakan kesusahan hidup mereka.
Difahamkan, rumah sewa berharga RM150 sebulan itu dihuni seorang ibu tunggal berusia 37 tahun bersama empat anaknya selepas suaminya dipenjara tujuh tahun lalu atas kesalahan dadah.
Lebih membimbangkan, anak sulungnya yang berusia 13 tahun merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual, manakala wanita itu sendiri hanya bekerja sebagai pembuat colok dengan pendapatan sekitar RM65 sehari.

Dia turut berdepan tekanan apabila abangnya yang merupakan penagih dadah sering mengganggu mereka, sekali gus menambah kesulitan hidup.
Susulan tularnya kisah ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah turun padang meninjau keadaan keluarga berkenaan dan berjanji akan menyalurkan bantuan segera.
"Saya sudah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyalurkan bantuan sara hidup serta menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai untuk keluarga ini," katanya ketika dihubungi.
Beliau juga memberi jaminan akan membantu mempercepatkan proses bantuan rumah agar keluarga terbabit dapat keluar dari kediaman yang tidak selamat itu.
Dalam pada itu, orang ramai turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib keluarga terbabit dan menggesa tindakan segera diambil bagi membantu kanak-kanak itu mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
"Jangan hanya kecam keadaan rumah mereka tanpa memahami kesusahan hidup yang mereka alami," tulis seorang pengguna media sosial.
"Jom kita gotong-royong bersihkan rumah mereka," cadang seorang lagi netizen.
Sementara itu, pihak berwajib disaran untuk memastikan bantuan sampai dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan keluarga terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


