Ibu tiga anak melecur akibat kebakaran ditidurkan

Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Baru, Sri Gading pada Sabtu.
Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Baru, Sri Gading pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT – “Saya tidak sempat bertemu dengannya kerana apabila saya sampai ke hospital, dia sudah pun ditidurkan."

Demikian kata Subidah Tumin, 68, ibu kepada Syarah Nurul Mastura Abdulllah, 31, salah seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Baru, Sri Gading di sini pada Sabtu.

Dia berkata, anaknya ditidurkan berikutan kecederaan serius dialaminya di seluruh badan dalam kejadian berkenaan.

"Sampai sahaja di hospital, saya nampak badannya berbalut, mukanya serta anggota lain cedera teruk. Hampir seluruh badannya terbakar.

“Setakat ini, saya masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai punca kebakaran,” katanya.

Seorang lagi mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, turut melecur tetapi berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.

Tiga anak Syarah Nurul Mastura yang terselamat dari kebakaran itu kini dijaga oleh nenek mereka di Parit Yusuf, Parit Sulong buat sementara waktu.

Artikel Berkaitan:

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Baru, Sri Gading pada Sabtu.
Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Baru, Sri Gading pada Sabtu.

Dalam pada itu, ibu saudara Syarah, Suhana Tumin, 52, berkata, dia menyedari kebakaran tersebut selepas anak saudaranya, Ryan Mohd Nazri, 7, berlari ke rumahnya sambil menjerit memberitahu bahawa rumahnya terbakar.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang memasak juadah berbuka puasa apabila dan dikejutkan dengan jeritan Ryan.

“Dia berlari sambil menjerit, ‘Nenek... rumah terbakar!’ Pada mulanya saya tidak faham kerana dia pelat. Namun, apabila terdengar suara ayahnya memanggil namanya, saya keluar dan melihat kawasan rumah sudah hitam.

“Saya nampak bapa Ryan mendukung dua lagi anaknya yang berusia enam dan empat tahun sebelum membawa mereka ke rumah saya. Saya terus menghubungi bomba.

"Api semakin marak dan saya dapat dengar beberapa letupan.

"Penduduk kampung segera bertindak dengan menggunakan alat pemadam api serta air dari parit berhampiran untuk mengawal kebakaran, mujurlah mereka bertindak pantas,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Batu Pahat, Penguasa Bomba Kanan 2, Mohd Tarmizi Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.02 petang.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba Batu Pahat dan Penggaram dikerahkan bersama tiga jentera, termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi berjaya dikawal dan ditamatkan pada jam 6.03 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!