Suami isteri parah akibat melecur dalam kebakaran di Penampang

PENAMPANG - Pasangan suami isteri melecur di seluruh badan dalam kejadian kebakaran melibatkan lima blok rumah pekerja di Penampang Baru, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa lelaki yang berusia 63 tahun dan isterinya, 59 tahun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 tengah hari.

Menurutnya, seramai 11 anggotanya dibantu enam anggota BBP Putatan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Penampang.
"Menurut laporan, kebakaran melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok terdapat 38 pintu yang telah terbakar 90 peratus.
"Terdapat dua mangsa dilaporkan mengalami cedera parah iaitu melecur dan kedua-duanya diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu di TUARAN, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur selepas terkena letupan melibatkan gas petroleum cecair (LPG) di Kampung Berungis di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.22 petang dan 15 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari BBP Tuaran.
Beliau berkata, sebaik tiba mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam dan pasukan bomba hanya melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan telah selamat.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.40 petang selepas memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
