KPWKM perkasa wanita melalui latihan digital, keusahawanan

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 17,290 suri rumah telah mendapat manfaat dan mampu menjana pendapatan sendiri selepas menyertai 734 Program Pembangunan Kapasiti dan Latihan Keusahawanan anjuran Jabatan Pembangunan Wanita pada tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program itu merupakan bukti Kerajaan Madani dan kementerian terus komited memperkasa wanita melalui pelbagai program latihan dan pembangunan kemahiran, termasuk dalam bidang digital dan keusahawanan.

Menurutnya, program berkenaan telah berjaya meningkatkan kapasiti wanita melalui kursus dan latihan, memberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan serta menggalakkan penyertaan dalam bidang keusahawanan.

“Sebagai contoh, Program Penjanaan Pendapatan yang dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur berjaya membantu 223 peserta meningkatkan pendapatan mereka.

“Purata pendapatan peserta sebelum menyertai program adalah antara RM501 hingga RM1,000 sebulan, namun majoriti peserta kini memperoleh lebih RM2,500 selepas mengikuti program tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, Nancy berkata, JPW akan memperluaskan Program Pemerkasaan Ekonomi Wanita untuk meningkatkan pendapatan golongan sasar termasuk ketua isi rumah, ibu tunggal dan suri rumah, pada tahun ini.Katanya, program berkenaan turut menyokong agenda ‘Ekonomi Madani’ yang menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencapai 60 peratus.

“Kita juga memperkenalkan Program Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) untuk membantu wanita menjana pendapatan melalui penghasilan produk komersial daripada bahan terpakai.

“Tahun lalu, seramai 54 wanita daripada golongan B40 di Kedah dan Johor telah menyertai program ini dengan peningkatan ketara dalam pendapatan mereka,” katanya.

Ujarnya, KPWKM turut melaksanakan program Wanita Gig and Business in Technology (Gig@BIT) yang memberi peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan menerusi teknologi digital dalam usaha mendukung peralihan wanita ke dalam sektor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini telah memberikan manfaat kepada 272 peserta secara fizikal dan 1,139 secara dalam talian. Ia juga mendapat penglibatan tinggi di media sosial dengan tontonan mencecah 160,523 dan lebih 2,900 tanda suka,” jelasnya.

Gig@BIT dilaksanakan dengan kerjasama syarikat seperti Sea Limited (ibu syarikat Shopee), Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).

Peserta didedahkan kepada bidang e-dagang, keselamatan dalam talian serta peluang kerjaya dalam sektor digital.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, KPWKM merancang untuk terus memperkasakan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan penyertaan lebih meluas dalam tenaga kerja masa hadapan.

“Kami percaya bahawa dengan penyediaan ekosistem yang menyokong, lebih ramai wanita akan dapat menjana pendapatan yang mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka, KPWKM terus menjadi peneraju dalam memperkasakan wanita ke arah kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial yang lebih mapan,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!