Trend suri rumah bekerja secara bebas semakin meningkat

Muka depan Sinar Ahad mengenai suri rumah poket tebal. Gambar kanan: Sabariah
Muka depan Sinar Ahad mengenai suri rumah poket tebal. Gambar kanan: Sabariah
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan suri rumah dalam pekerjaan bebas atau sambilan semakin meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Sabariah Baharun berkata, hampir 50 peratus wanita bekerjaya memilih menjadi suri rumah atas faktor keluarga, manakala 15 peratus lagi berhenti kerja atas pilihan sendiri.

Beliau yang juga aktivis wanita dan keluarga berkata, peningkatan penyertaan suri rumah dalam sektor kerja disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya peningkatan peluang kerja dalam talian seperti e-dagang, pemasaran digital dan penulisan bebas.

Selain itu, katanya, perubahan norma sosial juga menyokong suri rumah bekerja untuk mencari pendapatan.

“Saya melihat adanya platform yang memudahkan suri rumah mencari pekerjaan fleksibel atau wanita dapat kembali semula bekerja seperti usaha yang dijalankan oleh Talent Corp.

“Kerajaan turut menyediakan insentif dan kemudahan untuk menggalakkan penyertaan suri rumah dalam sektor ekonomi.

“Bagaimanapun, bagi kes ekonomi ini perlu kita faham bahawa keberadaan suri rumah dalam rumah tangga dapat mengurangkan perbelanjaan keluarga seperti kos penjagaan anak, pembantu rumah dan masak sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sabariah berkata, pendapatan sampingan yang diperoleh boleh membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dengan menyediakan aliran pendapatan tambahan, sekali gus dapat menampung keperluan harian atau digunakan untuk tujuan simpanan, pendidikan atau rawatan kesihatan.

“Ia juga memberi kebebasan kewangan kepada suri rumah untuk membeli keperluan atau memenuhi kehendak peribadi mereka, seterusnya meningkatkan kesejahteraan psikologi dan emosi.

Artikel Berkaitan:

“Pendapatan tambahan ini juga dapat mengurangkan tekanan kewangan dan memberi keluarga lebih banyak pilihan dalam merancang masa depan,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!