Suri rumah dilatih kuasai AI

SHAH ALAM - Individu yang berminat menceburi ekonomi digital termasuk golongan suri rumah boleh mengikuti pelbagai latihan dalam talian di pelbagai platform mengikut kesesuaian masing-masing.
Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr Mohd Azlishah Othman berkata, suri rumah boleh menyertai kursus percuma di YouTube, Coursera dan Udemy yang direka supaya mudah difahami dan boleh diikuti mengikut masa sendiri, tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab di rumah.
Menurutnya, kerajaan juga menyediakan pelbagai program latihan khas.

“Misalnya melalui agensi seperti Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan inisiatif MyDigital.
“Sebagai contoh, program AI untuk Usahawan Wanita yang dijalankan oleh MTDC-UPM telah memberi pendedahan kepada ramai usahawan wanita dalam memanfaatkan teknologi digital untuk perniagaan mereka.
“Bagi mereka yang lebih selesa dengan pembelajaran secara fizikal, terdapat workshop dan seminar tempatan yang dianjurkan oleh pusat komuniti serta badan swasta,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Azlishah, terdapat pusat latihan digital seperti Jelita TVET Women Academy yang menawarkan program khusus direka khas tanpa memerlukan mereka menguasai aspek teknikal yang terlalu mendalam.
Bagaimanapun beliau mengakui, kos latihan menjadi cabaran utama bagi suri rumah untuk meningkatkan kemahiran digital.
“Beberapa agensi seperti MDEC, Mara (Majlis Amanah Rakyat), Insken (Institut Keusahawanan Negara Bhd), dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) menyediakan program pembiayaan yang membolehkan wanita mengikuti latihan tanpa beban kewangan yang tinggi.
“Selain itu, suri rumah juga digalakkan untuk sentiasa memantau pengumuman daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan agensi pusat untuk mengetahui peluang pembiayaan terkini,” ujarnya.

Beliau berkata, peluang untuk suri rumah menyertai ekonomi digital terbuka luas ketika ini namun perlu menguasai kemahiran asas termasuk penggunaan internet serta media sosial untuk tujuan pemasaran dan komunikasi.
Katanya, pemasaran digital penting bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan atau bekerja dalam sektor digital.
“Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), suri rumah juga digalakkan untuk memahami bagaimana AI dan analisis data boleh membantu dalam membuat keputusan perniagaan atau mengurus pelanggan dengan lebih berkesan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
