Kerajaan disaran gubal undang-undang 3R

Kok Seong
Kok Seong
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggubal undang-undang baharu yang lebih khusus bagi menangani kesalahan berkaitan 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan lebih komprehensif.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, negara masih bergantung kepada undang-undang sedia ada yang telah lama dikuatkuasakan, namun tiada peruntukan khusus berkaitan kes 3R.

“Saya kira kita perlu perundangan baharu kerana isu 3R ini sesuatu yang baru diperkenalkan sebagai kesalahan khusus oleh kerajaan namun, kita masih menggunakan undang-undang sedia ada untuk menanganinya, sedangkan ia mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kok Seong, antara akta yang digunakan ketika ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Katanya, terdapat kes di mana perbuatan menimbulkan ketegangan agama dilakukan oleh rakyat Malaysia yang berada di luar negara, malah ada kemungkinan ia turut dilakukan oleh warga asing.

Beliau berkata, situasi ini menimbulkan persoalan sama ada undang-undang sedia ada mampu menjangkau tindakan yang berlaku di luar negara.

“Undang-undang sedia ada mungkin boleh digunakan, tetapi ia agak rumit. Jika kerajaan menggubal undang-undang baharu yang lebih khusus dan mengambil kira setiap perinciannya, saya yakin ia akan lebih cekap serta berkesan dalam menangani isu ini.

“Masyarakat perlu sedar isu penghinaan terhadap agama semakin meruncing dan boleh mencetuskan konflik jika tidak ditangani dengan baik,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar tidak terjebak dalam perbalahan yang boleh membawa kepada keganasan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita harus matang dan tidak memburukkan keadaan dengan menambah komen-komen berbaur provokasi di media sosial, walaupun ia menyakitkan hati.

“Sebaliknya, kita perlu bersabar dan mengambil tindakan wajar dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

'Lucut kewarganegaraan boleh dibuat jika gubal akta baharu'

Sementara itu, Peguam, Siti Farah Farhana Ahmad Fathi berkata, pelucutan kewarganegaraan individu yang melakukan kesalahan menghina agama, namun lari atau berada di luar negara hanya boleh dilakukan kerajaan jika undang-undang mengenainya digubal.

Menurutnya, ia kerana setakat ini undang-undang yang termaktub tidak membolehkan pelucutan kewarganegaraan dijatuhkan bagi kesalahan menghina agama.

Siti Farah Farhana
Siti Farah Farhana

“Jadi mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk gazetkan undang-undang sedemikian sekiranya ia dilihat perlu diwujudkan.

“Pertimbangan untuk laksanakan hukuman tegas ini mungkin ambil kira keadaan masyarakat kita yang berbilang kaum dan tidak mahu kesalahan tersebut mengganggu ketenteraman awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik status kewarganegaraan individu didakwa menghina agama Islam dan mengeluarkan kata-kata lucah melampau dalam satu video tular baru-baru ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, langkah berkenaan wajar untuk mencegah rasa ‘kebal di luar negara’ daripada berlarutan.

Dalam pada itu, Siti Farah berkata, pada dasarnya mengikut Perlembagaan Persekutuan, kewarganegaraan seseorang individu adalah hak yang terjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!