Ketua Keselamatan Telekom maut motosikal terbabas di LPT1

KUANTAN - Ketua Jabatan Keselamatan dan Sekuriti Telekom Malaysia Kuala Lumpur maut
selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 215, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Sri Jaya-Gambang, berhampiran susur keluar Gambang, pada jam 9 pagi, Ahad.
Mangsa, Hasrol Harun, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan mendapati, mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.
"Apabila tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar divider besi sebelah kiri jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
Wan Mohd Zahari menambah, hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan ini berlaku.
Kes disiasat iasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

