Anggota polis cedera motosikal terbabas cuba elak anjing

Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak anjing. Foto IPD Kluang
Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak anjing. Foto IPD Kluang
A
A
A

KLUANG - Seorang anggota polis cedera selepas motosikal pasukan yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak seekor anjing yang tiba-tiba melintas di Jalan Padang Tembak di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa yang berusia 37 tahun dalam perjalanan ke Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

"Mangsa dipercayai tidak sempat mengelak apabila seekor anjing tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto IPD Kluang
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto IPD Kluang

"Ini menyebabkan motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan.

"Kejadian itu juga menyebabkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada fork hadapan, bahagian sisi kanan, serta beberapa bahagian lain," katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala, badan, dan kaki dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutamanya di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan liar bagi mengelakkan kemalangan seperti ini berulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!