Pelajar kolej maut motosikal terbabas langgar tiang elektrik

Keadaan di lokasi kejadian di Jalan Atas Tol, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Keadaan di lokasi kejadian di Jalan Atas Tol, Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Atas Tol, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, mangsa, Amirul Iman Mohd Zulkifly, 19, yang merupakan pelajar Kolej Universiti TATI (TATIUC), Kemaman, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari Chendering menghala ke Gelugor Kedai.

Motosikal dinaiki mangsa ketika nahas sekitar jam 7.55 malam pada Jumaat.
Motosikal dinaiki mangsa ketika nahas sekitar jam 7.55 malam pada Jumaat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.

"Akibat perlanggaran itu, tiang elektrik tersebut patah manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengawal kenderaan terutama ketika memandu pada waktu malam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!