'Gantung Parlimen sehingga stabil'

Kerajaan di bawah Perdana Menteri Interim ketika ini boleh mencontohi langkah drastik diambil Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 1969 di mana keputusan penggantungan Parlimen disusuli dengan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran)
Kerajaan di bawah Perdana Menteri Interim ketika ini boleh mencontohi langkah drastik diambil Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 1969 di mana keputusan penggantungan Parlimen disusuli dengan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran)
A
A
A

SHAH ALAM - Di sebalik desakan pembubaran Parlimen semakin kuat diperkatakan, seorang penganalisis politik berpandangan kerajaan perlu menggantung Parlimen buat sementara sehingga satu jangka masa stabil dan aman.

Presiden Persatuan Demokrasi Profesional (ProDem) Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, kerajaan di bawah Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini boleh mencontohi langkah drastik diambil Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 1969 di mana keputusan penggantungan Parlimen disusuli dengan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Menurutnya, elemen politik dipanggil model Rahman itu diperkenalkan Tunku Abdul Rahman bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969.

"Langkah kerajaan menggantung Parlimen bagaimanapun tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan sama sekali dan sekiranya Parlimen digantung, Malaysia akan ditadbir melalui langkah mewujudkan Majlis Tindakan Kerajaan Perpaduan.

"Majlis Tindakan Kerajaan Perpaduan sama fungsi seperti pengenalan Mageran yang boleh dianggotai semua presiden parti dan golongan profesional meliputi kepimpinan tadbir awam, keselamatan, pertahanan serta individu baharu yang boleh menyumbang kepada gerak kerja mengurus dan membina negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Md Shukri berkata, dalam konteks politik negara ketika ini, Majlis Tindakan Kerajaan Perpaduan itu perlu diketuai Dr Mahathir sendiri sebagai ketua kerajaan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara juga perlu diperkukuhkan.

"Sepatutnya apabila sahaja Dr Mahathir diberikan sokongan semua parti dan kumpulan politik, maka langkah menubuhkan kerajaan perpaduan ini harus dimulakan dan perlu disambut baik tetapi dalam konteks Malaysia, usaha mewujudkan kerajaan perpaduan adalah cabaran paling rumit di mana elemen kaum, agama dan budaya yang pelbagai menjadi halangan utama penyatuan politik.

"Model Rahman pada masa ini, kita perlu gantung Parlimen dan pada masa sama, Malaysia akan ditadbir melalui penubuhan Majlis Tindakan Kerajaan Perpaduan yang boleh dianggotai sesiapa sahaja yang dirasakan Dr Mahathir mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pelaksanaan kerajaan perpaduan di Malaysia, Md Shukri berpandangan, ia hanya akan berjaya dengan beberapa syarat iaitu setiap pemimpin parti harus merendahkan tahap anutan kepartian masing-masing, sifat melampau dan tidak bertoleransi serta lebih prihatin dalam menangani isu sensitif terutama membabitkan sentimen perkauman dan agama.

Menurutnya, sifat politik profesionalisme patut jadi asas kepada ahli politik, tetapi kerana terjerat dengan isu, sentimen dan ada pula tindakan tidak wajar dilakukan, ia menjadi penghalang kepada cubaan pembinaan sebuah kerajaan bebas dan profesional serta mementingkan Malaysia.

"Dua kelompok fahaman parti-parti bertentangan antara satu sama lain, ditambah pula oleh wujudnya beberapa ketua kepada tokoh tokoh politik juga menjadi halangan utama.

"Saya lihat percubaan Dr Mahathir mahu mewujudkan kerajaan pelbagai parti, pelbagai tokoh dan pelbagai kemahiran ketika ini adalah menjurus kepada soal hala tuju kerja membina negara iaitu istilah sains politiknya adalah mewujudkan politik demokrasi profesional," katanya.

Mengenai cadangan pembubaran Parlimen, Md Shukri merasakan langkah itu tidak bertepatan dengan senario politik semasa dan keadaan ekonomi negara yang semakin terjejas ketika ini.

"Sejurus Tunku Abdul Rahman menggantung Parlimen dan membentuk Majlis Gerakan Negara dipengerusikan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak pada 1969, negara ketika itu dilihat berjaya mengatasi masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

"Susulan itu, Mageran dibubarkan pada tahun 1971 dengan pemulihan Parlimen dan pilihan raya umum (PRU) diadakan demi mengembalikan amalan demokrasi berperlembagaan seperti biasa," katanya.

Semalam, gabungan blok pembangkang mencapai kata sepakat bahawa Parlimen harus dibubarkan dan syor berkenaan telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, persepakatan itu juga sebagai tanda mereka menolak penubuhan kerajaan perpaduan yang mungkin dibentuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri sementara dengan turut melibatkan DAP.

ARTIKEL BERKAITAN Dr Mahathir mahu bentuk kerajaan tanpa parti politik

Debaran penantian keputusan Agong

PH sepakat calon Anwar sebagai Perdana Menteri