PH sepakat calon Anwar sebagai Perdana Menteri

Anwar
Anwar
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa semua ahli Parlimen PH hari ini sepakat mencalonkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Presiden PH semalam yang merangkumi semua parti gabungannya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"PH kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial.

"Kami tidak akan mengkhianati amanah ini dan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang," katanya pada sidang media khas PH di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 131 ahli Parlimen dari PKR, DAP dan Amanah menghadap untuk ditemuduga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi kedua yang berlangsung hari ini.

Semalam, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 90 ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mendengar sendiri pandangan berhubung kemelut politik semasa dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, ketika ditanya jumlah bilangan kerusi PH yang dimiliki kini, Anwar memberitahu ia tidak sesuai atau 'kurang sopan' untuk dibincangkan secara terbuka.

"Tambah lagi keputusan mengenai hal itu terletak sepenuhnya pada kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

"Yang lain, saya ulang kita harus hormati kebijaksanaan Tuanku dan mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.