Lebih RM3 juta tunggakan sewa PPR, ada penghuni duduk 'percuma' lima tahun

SEREMBAN - Lebih RM3 juta tunggakan sewa bulanan bagi dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) masih belum diselesaikan sehingga kini.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, berkata jumlah tunggakan sewa di PPR Paroi bernilai RM1.38 juta, manakala di PPR Lobak sebanyak RM1.8 juta.
"Di PPR Paroi, seramai 222 penyewa aktif daripada 344 unit yang disewakan mempunyai tunggakan sebanyak RM597,977, dengan tunggakan tertinggi bagi satu unit adalah sebanyak RM24,280.
"Di PPR Lobak pula, sebanyak 139 unit disewakan dengan 116 penyewa aktif mempunyai tunggakan sebanyak RM950,245, dan jumlah tunggakan tertinggi direkodkan bagi satu unit membabitkan RM33,829," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan penguatkuasaan MBS yang mencabut pintu unit PPR yang culas membayar sewa sehingga tunggakan mencecah puluhan ribu ringgit.
Menurutnya, pihaknya juga menanggung tunggakan sewa sebanyak RM780,921 di PPR Paroi berikutan seramai 121 penyewa sebelum ini gagal membuat pembayaran.
Tambahnya, di PPR Lobak pula, seramai 240 penyewa tidak aktif dengan jumlah tunggakan sebanyak RM865,568, yang mana rekod tunggakan penyewa paling tinggi adalah RM26,950.
"Sewa bulanan bagi kedua-dua PPR adalah RM150 sahaja, tetapi yang dikesalkan, dua penyewa didapati tinggal 'percuma' sekurang-kurangnya selama lima tahun tanpa membayar satu sen pun.
"Empat daripada mereka hanya membayar kira-kira 15 peratus sahaja daripada jumlah yang sepatutnya," katanya.
Ujarnya, mereka sepatutnya bersyukur kerana dapat menyewa di PPR yang kadar sewanya 70 peratus lebih rendah berbanding rumah di kawasan sekitar.
"Terdapat ramai keluarga berpendapatan rendah yang terpaksa membayar kadar sewa sekurang-kurangnya RM500 sebulan di luar sana. Mereka perlu melakukan pelbagai kerja bagi menampung keperluan dan perbelanjaan keluarga," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegur sikap segelintir penyewa PPR yang culas membayar sewa meskipun kadar sewa yang dikenakan adalah sangat rendah.
Beliau berkata, ada sesetengah daripada mereka yang beranggapan tidak perlu membayar sewa kerana menganggap rumah itu sebagai milik kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

