Bijak pilih antara intan dan kaca

Laporan Sinar Harian mengenai tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda satu perayaan agama.
Laporan Sinar Harian mengenai tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda satu perayaan agama.
A
A
A

BAHANG yang timbul sejak beberapa hari lalu melibatkan kes sebuah stesen radio yang dikatakan mempersenda agama lain nampaknya masih belum reda.

Inilah Malaysia, sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, yang dari satu sudut, kita lihat cukup indah dengan kehidupan penuh harmoni.

Namun dari satu sudut lain, ia seumpama duduk atas dahan rapuh yang boleh patah pada bila-bila masa.

Disebabkan negara pernah ada pengalaman masa lalu yang tidak ingin dikenang lagi, maka usaha untuk memupuk keharmonian tidak dihenti-henti dilakukan.

Malah undang-undang sedia ada juga sudah cukup untuk bendung sebarang tindak tanduk yang akan mengancam keselamatan negara dan rakyat.

Yang tinggal kini hanyalah kematangan rakyat untuk menilai yang mana satu intan dan mana kaca apabila ada isu dibangkitkan mana-mana pihak.

Ini kerana akan sentiasa ada pihak yang akan menunggang isu tersebut demi kepentingan masing-masing. Sebab itulah kita kena sentiasa ada kewarasan.

Namun bukan Malaysia sahaja yang terus berjuang untuk memupuk perpaduan rakyat.

Antaranya ialah Singapura yang telah mewujudkan Dasar perumahan campuran yang menetapkan kuota etnik dalam perumahan awam (HDB) untuk menggalakkan interaksi antara kaum.

Artikel Berkaitan:

Negara itu turut mengenakan undang-undang ketat bagi sebarang unsur hasutan terhadap kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Mereka memperkenalkan pendidikan dwibahasa iaitu sekolah menggalakkan pelajar memahami budaya lain melalui bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penyatuan.

Di Indonesia, Pancasila digunakan sebagai ideologi nasional sebagai asas negara dan panduan dalam perpaduan nasional.

Konsep Bhinneka Tunggal Ika bermaksud bersatu dalam kepelbagaian menggalakkan rakyat menerima perbezaan etnik dan agama sebagai satu kekuatan.

Sementara Kanada pula mewujudkan Akta Multikulturalisme 1971 yang secara rasmi mengiktiraf kepelbagaian budaya dan memberi hak sama rata kepada semua kaum dan agama.

Pendidikan inklusif diterapkan apabila sekolah mengajar tentang pelbagai budaya dan agama bagi membina sikap hormat antara kaum.

Di Afrika Selatan, negara itu mengadakan rekonsiliasi pasca-apartheid dan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi selepas kejatuhan apartheid untuk menggalakkan pemahaman serta memulihkan hubungan kaum.

Negara itu turut mewujudkan Dasar Rainbow Nation yang menekankan konsep perpaduan nasional dengan menekankan penerimaan kepelbagaian sebagai keunikan negara.

Amerika Syarikat pula menekankan tentang kesaksamaan hak dan inklusiviti dengan mewujudkan undang-undang hak sivil menerusi Akta Hak Sivil 1964 yang melarang diskriminasi berdasarkan bangsa, agama, dan jantina.

Mereka mewujudkan kurikulum yang menekankan kepelbagaian dan sekolah mengajar sejarah pelbagai komuniti serta peranan mereka dalam pembinaan negara.

Berbalik kepada model perpaduan di Malaysia, walaupun peruntukan undang-undang sudah ada, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

Yang penting ialah kita semua tahu batas masing-masing dan menggunakan saluran perundangan yang ketat jika sebarang perbuatan sudah melanggar norma kehidupan masyarakat.

Sementara itu, golongan agama dan pemimpin masyarakat perlu bertindak memainkan peranan supaya tidak terus mengeruhkan suasana.

Jadi jangan berhenti untuk terus berusaha keras memupuk perpaduan, kerana hanya negara inilah tempat tinggal yang kita ada.

Jika ia musnah terbakar dek perbuatan kita yang tidak bertanggungjawab, maka kitalah yang akan tanggung segala kerugian dan kemusnahan.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!