'UMNO, BN dilihat tidak terburu-buru buat keputusan'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan BN dijangka tidak mengambil langkah terburu-buru dalam membuat keputusan membabitkan isu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan imej parti tidak tercalar dan terjejas.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, mereka juga tidak mahu terpalit dengan isu tersebut kerana mahu parti dan gabungan berkenaan selari dengan agenda reformasi kerajaan.

Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik

Pada masa sama, langkah itu bagi memastikan parti berkenaan kekal relevan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan yang telah lama memperjuangkan agenda ketelusan dan amanah.

“Saya juga berpendapat bahawa tindakan menjauhkan diri adalah usaha UMNO dan BN untuk meningkatkan kepercayaan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang semakin penting.

“Ia termasuklah sokongan kepada parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) lalu dan pilihan raya pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan UMNO dan BN masing-masing menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut Mohammad Tawfik, UMNO dan BN juga berhati-hati dalam isu berkenaan memandangkan sebagai bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri mempunyai sokongan tersendiri dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

“Sekiranya parti terburu-buru dan gelojoh bertindak kepada Ismail Sabri, maka ia boleh mewujudkan perpecahan dalaman serta menggambarkan persepsi yang tidak baik kepada kepimpinan UMNO.

“Justeru, mereka ambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga SPRM dan proses mahkamah berlangsung, barulah sesuai untuk UMNO dan BN mula bertindak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya kesan terhadap kes berkenaan, beliau menjangkakan pemimpin tertentu akan mula menjauhkan diri daripada Ismail Sabri.

“Saya tidak terkejut jika beliau dipinggirkan atau dikenakan tindakan disiplin seperti digantung keahlian kerana parti mempunyai bidang kuasa disiplin bersandarkan kepada perkembangan isu semasa melibatkan Ismail Sabri yang boleh menjejaskan parti,” katanya.

Persepsi

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata, penafian penglibatan UMNO dan BN sudah dijangkakan kerana kes berkenaan boleh menimbulkan persepsi yang serius kepada parti itu.

Ariff Aizuddin
Ariff Aizuddin

Beliau juga bersetuju bahawa mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“UMNO dan BN mengambil pendekatan itu dengan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih terperinci.

“Jalan ini perlu untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang campur tangan politik yang tidak diingini,” jelasnya.

Pada masa sama, Ariff Aizuddin tidak menolak kemungkinan Ismail Sabri mungkin akan dipinggirkan jika menjadi satu liabiliti politik kepada UMNO.

Beliau juga melihat kes seumpama itu sebagai pencetus utama kepada kelangsungan politik Ismail Sabri dalam UMNO dan BN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!