Ismail Sabri kurang sihat, proses rakam keterangan tangguh lagi

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses rakaman percakapan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan pada Jumaat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini ditangguh pada 13 Mac ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses rakaman percakapan tersebut tidak dapat dilaksanakan dan ditunda ke minggu hadapan susulan faktor kesihatan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 13 Mac ini bagi dirakam percakapan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

"Sepatutnya beliau dijangka hadir esok (Jumaat), namun ia tidak dapat dilakukan kerana masih dalam cuti sakit.

"Jadi beliau akan hadir pada 13 Mac ini bagi dirakam percakapan berhubung kes rasuah," katanya pada Khamis.

Ismail Sabri akan hadir buat kali kedua ke Pejabat SPRM Putrajaya, selepas membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM melakukan rampasan wang tunai dan jongkong emas, selepas menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan 'safe house' oleh pembantu Perdana Menteri ke-9 itu.

Azam dilaporkan berkata, semua wang tunai berjumlah RM170 juta dengan pelbagai mata wang asing itu ditemui dalam tiga peti besi di kediaman yang disewa.

Beliau juga menyatakan SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta dari lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah Azam juga mengesahkan Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya adalah seorang suspek dalam kes berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!