RM32 juta masuk akaun Najib

Najib- FOTO BERNAMA
Najib- FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan Putrajaya Perdana Bhd (PPB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sejumlah RM32 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Datuk Rosman Abdullah berkata, wang berkenaan dipindahkan ke dalam akaun bekas perdana menteri yang berakhir dengan nombor 880 dan 906 pada 2014 melalui dua transaksi iaitu sebanyak RM27 juta pada 8 Julai, 2014 dan RM5 juta pada 10 September, 2014.

Bagaimanapun saksi pembelaan itu berkata pada waktu itu beliau tidak mengetahui akaun berkenaan milik Najib.

"Semasa pemindahan wang itu, saya tidak tahu akaun AmPrivate Banking-1MY dan AmPrivate Banking-MY itu milik Najib. Saya terkejut apabila mendapati ada artikel di internet yang mendakwa akaun berkenaan milik Najib.

"Apabila saya ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2015, penyiasat juga memberitahu saya perkara yang sama," katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Farhan Read.

Sebelum itu, Rosman, 53, memaklumkan mahkamah bahawa RM32 juta dipindahkan daripada RM170 juta yang dikreditkan ke akaun Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC), anak syarikat PPB antara Julai dan September 2014.

Rosman berkata, beliau diberitahu bahawa transaksi (RM170 juta) pada masa itu oleh Jho Low dan Jho Low memaklumkannya bahawa dana berkenaan merupakan pendahuluan bagi satu kontrak yang sedang beliau rundingkan untuk dimeterai oleh PPC.

"Beliau berkata, beliau akan memastikan bahawa jika RM170 juta tidak digunakan untuk kontrak yang dicadangkan itu, beliau akan memastikan bahawa akan ada pembayaran balik tanpa liabiliti akan terakru kepada kumpulan PPB.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan Jho Low masih merupakan pemilik benefisial Kumpulan PPB pada masa itu, saya tidak fikir saya mempunyai hak dalam hal ini selagi tidak ada liabiliti kepada Kumpulan PPB apabila pembelian saham muktamad.

"Sebelum penangkapan saya oleh agensi antirasuah pada Julai 2015, Jho Low merupakan ahli perniagaan yang cekap dan boleh dipercayai dan kami menjadi, pada saya pada masa itu satu hubungan profesional yang mesra. Saya juga memikirkannya sebagai pengurus mikro.

"Berikutan penangkapan dan reman saya, dan kini mempunyai gambaran yang jelas mengenai apa yang berlaku dalam episod pemindahan RM170 juta itu, saya menggambarkannya sebagai penipu yang sangat licik dan berkesan dalam hal pemindahan berkenaan," kata saksi pembelaan kelapan itu.

Untuk rekod, Rosman adalah pemegang saham utama Kumpulan PPB melalui syarikat milik penuhnya, Cendana Destini Sdn Bhd dan syarikat itu memperoleh kepentingan dalam kumpulan PPB dari UBG Bhd, yang dimiliki Jho Low, pada harga pembelian RM240 juta.

Perjanjian penjualan itu pada 2012 tetapi pemerolehan berkenaan hanya selesai pada 13 April 2015 selepas harga pembelian sebanyak RM240 juta dibayar sepenuhnya.

Rosman berkata, Jho Low masih pemilik benefisial kumpulan PPB pada masa transaksi RM170 juta berkenaan.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- Bernama