Antara hubungan sejati dan ancaman siber

SHAH ALAM - Perkembangan dunia digital yang semakin pesat dengan kecanggihan teknologi termasuk kewujudan kepintaran buatan (AI) mengubah cara manusia berinteraksi dan menjalin persahabatan.
Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata, walaupun teknologi menawarkan kemudahan dan akses tanpa sempadan, persahabatan digital tetap memerlukan panduan nilai-nilai murni supaya membawa manfaat dan bukan mudarat kepada masyarakat.
Menurutnya, kemunculan dunia digital mewujudkan kejutan budaya yang memerlukan adaptasi dan literasi pendidikan sama ada dalam keluarga, sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat supaya teknologi dimanfaatkan secara bijak.
Katanya, tanpa kesedaran mencukupi, pengguna terutama kanak-kanak mudah terjebak dalam kesan negatif termasuk ketagihan gajet dan keterasingan sosial.
“Bagi golongan dewasa, media sosial banyak digunakan untuk mengekalkan silaturahim terutama dalam kalangan pesara dan rakan alumni sekolah.
“Untuk generasi muda, platform digital bukan sahaja digunakan untuk mengekalkan hubungan lama tetapi juga membina jaringan baharu berdasarkan minat sama. Namun, ia perlu disertai kesedaran tentang risiko yang ada,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, cabaran utama persahabatan digital ialah kecenderungan membina jaringan secara meluas tanpa mengetahui keperibadian sebenar individu ditemui di alam maya.
Beliau berkata, fenomena itu lebih ketara dalam kalangan pempengaruh yang memiliki ribuan kenalan dalam talian, namun hubungan tersebut sering kali bersifat dangkal dan tidak mendalam.
“Risiko persahabatan digital termasuk penipuan dalam talian, scam dan buli siber. Anak-anak muda yang kurang pengalaman mudah terpedaya dengan individu berniat jahat.
“Oleh itu, mereka perlu lebih berwaspada memilih rakan dalam dunia maya dan tidak hanya menilai persahabatan berdasarkan jumlah pengikut atau kenalan di media sosial,” ujarnya.
Abdul Rahman berkata, pengguna perlu menanam sikap berhati-hati dan berpegang kepada nilai kejujuran, kepercayaan dan hormat-menghormati dalam setiap interaksi maya.
“Keseimbangan antara dunia digital dan dunia nyata adalah kunci kepada hubungan sosial lebih berkualiti dan bermakna.
“Teknologi seharusnya menjadi alat membantu manusia menjalani kehidupan dengan lebih baik, bukan sebaliknya,” jelasnya.
Beliau turut menekankan etika komunikasi baik di dunia digital perlu diamalkan supaya media sosial tidak menjadi medan permusuhan tetapi platform membina kesepaduan sosial.
“Islam mengajar kita menghormati perbezaan dan mengamalkan adab dalam setiap interaksi. Persahabatan sejati didasari kepercayaan dan kesetiaan tanpa mengira latar belakang seseorang.
“Seorang diri tanpa sahabat boleh menjadi 'rapuh' tetapi dalam kesatuan, kita menjadi lebih kukuh.
“Begitu juga hadis Nabi Muhammad SAW seperti diriwayatkan Ibnu Majah yang memberi peringatan seorang kawan baik akan membentuk budi pekerti seorang Muslim lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
