'Ahli Parlimen Kampar bila mahu tunai janji bersara?' - Ka Siong

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berjaya membuktikan dirinya tidak melanggar peraturan mesyuarat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, berdasarkan sepucuk surat yang dihantar oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kepada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, tertulis bahawa tidak wujud 'prima facie' terhadap perkara dibangkitkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) dan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR).
Justeru, menurut Presiden MCA itu, Zhemin sepatutnya meletakkan jawatan memandangkan pernah berjanji untuk berbuat demikian ketika sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
Jelasnya lagi, Zhemin juga tidak boleh sekali lagi bersandar kepada jawapan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa KWSP memperoleh keuntungan RM102 juta daripada penjualan saham tersebut kerana isu yang dipertikaikan lebih kepada tindakan menjual murah dan membeli balik pada harga lebih tinggi.
"Memandangkan beliau telah berjanji untuk letak jawatan sekiranya KWSP rugi walau satu sen pun, maka beliau patut tunaikan bagi menjaga integriti Parlimen dan memastikan Dewan Rakyat tidak dikelirukan oleh kata-katanya.
"Hujah utama yang saya bahaskan mengenai KWSP alami kerugian akibat tindakan menjual murah dan membeli balik saham MAHB pada harga lebih tinggi kini diputuskan sebagai tidak mengelirukan Dewan Rakyat. Ini bermakna KWSP memang mengalami kerugian akibat tindakan tersebut.
"Hari ini segalanya terjawab membuktikan saya tidak melanggar peraturan mesyuarat, terima kasih Johari atas keputusan yang bijaksana. Jadi, Ahli Parlimen Kampar bila mahu menunaikan janji untuk bersara?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Zhemin dilaporkan mahu merujuk Ka Siong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan agar dikenakan tindakan disiplin.
Bagaimanapun, Ka Siong kemudian mengemukakan penjelasan dan bukti pada 27 Februari lalu untuk mempertahankan dirinya.
Susulan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menolak usul berkenaan pada 6 Mac dengan mengatakan tidak wujud 'prima facie' terhadap perkara dibangkitkan menerusi satu surat yang dihantar kepada Zhemin dan salinannya kepada Ka Siong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

