KPDN Perak ketat pemantauan, elak peningkatan kes

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melaksanakan pemantauan lebih ketat dan bersasar di semua lokasi tumpuan sepanjang Ramadan ini.
Tindakan itu bagi mengelak berlakunya peningkatan kes selepas Perak merekodkan kesalahan tertinggi dalam pemeriksaan Op Pantau yang bermula seluruh negara, Ahad lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, setakat Rabu, sebanyak 11 kesalahan dikesan masing-masing lima kes melibatkan tiada tanda harga dan alat timbang yang tidak ditentukan serta satu kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 iaitu menjual barang tiruan.
Menurutnya, semua kesalahan itu direkodkan hasil pemeriksaan ke atas 1,051 premis membabitkan nilai kompaun RM3,800 dan rampasan berjumlah RM84,000.
"Seramai 195 penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan setiap hari.
"Tumpuan kita ke atas harga barang yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti antaranya gula, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barangan untuk membuat kuih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka dan Program Mysavefood Ramadan di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh memaklumkan, sebanyak 116 aduan diterima sepanjang Op Pantau dijalankan, dengan Perak mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 10 kes, Selangor dengan empat kes, Sabah tiga kes manakala Johor dan Kelantan masing-masing mencatatkan dua kes.
Semua kesalahan tersebut hasil pemeriksaan 3,275 premis seluruh negara termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
Sementara itu, Kamalludin berkata, tahun ini, terdapat 10 lokasi BRR di seluruh negeri menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka dengan harga berpatutan.
Katanya, setiap lokasi akan dilaksanakan sebanyak lapan kali BBR di mana seramai 52,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
“Melalui ReDI, setiap pengunjung bazar akan dapat menikmati RM20 yang akan dikreditkan ke dalam e-wallet Touch n Go (TNG).
"Selain itu, peniaga yang menawarkan menu Rahmah juga akan diberikan insentif RM100 secara one-off,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

