Premis e-waste haram babit jenayah terancang - Saifuddin

KUALA LANGAT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan premis sampah elektronik (e-waste) haram yang diserbu seluruh negara pada menerusi Op Hazard pada 14 Februari lalu membabitkan sindiket jenayah terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perisikan pihak polis mengesahkan masih ada lagi premis e-waste beroperasi.
"Selain itu, saya juga tak tolak kemungkinan kegiatan ini ada penglibatan perkara ini (gengster) dan itu dalam pemerhatian polis.
"Siasatan elemen jenayah dan keselamatan itu melibatkan pasukan polis. Bila pengoperasian (kilang) besar, rangkaian seluruh negara tentunya tidak melibatkan operasi individu," katanya kepada pemberita ketika meninjau kilang terbabit di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Pada Khamis, di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan ada pegawai yang menjalankan tindakan penguatkuasaan e-waste di negara ini diperas ugut.

Antara ugutan yang diterima ialah rakaman aktiviti anak mereka ketika berada di sekolah.
Mengulas lanjut, kata Saifuddin, beliau juga telah memberi taklimat penuh kepada Perdana Menteri mengenai serbuan dan siasatan yang dilakukan membabitkan isu e-waste.
"Beliau (Perdana Menteri) telah beri panduan bagaimana hal ini perlu ditangani oleh semua agensi kawal selia termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita juga akan lihat punca kemasukan kontena e-waste termasuk semakan semua dokumen dan itu adalah ruang lingkup siasatan babit agensi," ujarnya.
Tegas Saifuddin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan semua agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kalau ada elemen jenayah itu pihak PDRM akan siasat, tapi kalau elemen rasuah sudah tentu autoritinya SPRM. Jika pelanggaran isu alam sekitar sudah tentu di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Jadi apa maksud siasatan? Siasatan perlu berakhir dengan pertuduhan. Kerjasama pelbagai agensi mesti ke arah melengkapkan siasatan secara kredibiliti sebelum diserah kepada timbalan pendakwa raya yang berakhir dengan pendakwaan," ujarnya.
Pada 15 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Hazard di seluruh negara merampas pelbagai bahan e-waste dianggarkan bernilai RM2.86 bilion seberat 22.9 kilogram.
Selain itu, pada 24 Februari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan JAS menerusi Op X telah menggempur 12 kilang di Segamat, Johor dan Telok Panglima Garang, Selangor.
Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.
Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.
Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
