Kecewa beli ayam percik, tapi dapat tulang, sisa

KUANTAN - Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa di media sosial selepas mendakwa membeli ayam percik di sebuah gerai di Taman Kerang, di sini, namun hanya menerima tulang dengan sisa isi yang sangat sedikit.
Dalam hantaran yang kini tular dengan lebih 700 reaksi, pelanggan itu berkongsi gambar ayam percik yang dibelinya pada harga RM7.
Bagaimanapun, keadaannya mengecewakan kerana hampir tiada isi yang boleh dimakan.
"Orang niaga, kau pun nak niaga. Orang jual RM6, kau jual RM7.
"Orang bagi ayam percik, kau bagi tulang percik. Isi pun habis dah kena 'kikis', @Taman Kerang," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Situasi ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata marahkan dengan kualiti makanan yang diberikan peniaga tersebut.
Seorang pengguna, Muhammad Nabawi Mohammad mencadangkan agar pelanggan mengubah tempat pembelian sekiranya mendapat pengalaman buruk dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika peniaga masih berdegil.
"Jika peniaga degil, laporkan kepada jabatan kesihatan. Insya-ALLAH mereka akan saman," katanya.
Sementara itu, Nor Azian Iskandar turut berkongsi pendapatnya dan bimbang tentang harga makanan yang semakin mahal tetapi kualitinya tidak sepadan.
"Ya ALLAH... RM7 gini ye. Takut pula kita nak cakap mahal, nanti orang suruh kita buat sendiri. Yelah, semua barang kan mahal," katanya secara berseloroh.
Seorang lagi netizen, Nana Lot, mempersoalkan bagaimana pelanggan boleh tidak menyedari keadaan ayam tersebut ketika membelinya.
"Itu memang tulang ayam, takkan tak tengok masa beli," katanya.
Dalam komen lain, Mohamad Azlan pula menyeru orang ramai agar memboikot gerai tersebut.
"Gilalah... apa nama gerai tu? Kita boikot terus. Buat niaya dekat orang," tulisnya.
Isu ini mencetuskan gesaan agar masyarakat lebih berhati-hati ketika membeli makanan di bazar atau gerai.
Netizen turut berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan bagi memastikan harga dan kualiti makanan yang dijual di kawasan tersebut adalah berpatutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

