1.8 tan lebihan makanan dikumpul di bazar Ramadan

SHAH ALAM - Sebanyak 1,866.9 kilogram (kg) atau 1.8 tan metrik lebihan makanan dikumpulkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat hari keempat pelaksanaan program MySave Food@Ramadan Bazar 2025 pada Jumaat.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan, pengumpulan lebihan makanan itu membabitkan lima lokasi iaitu bazar Ramadan Stadium Shah Alam di Seksyen 13, Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 28 dan Seksyen U16.
Menurutnya, lebihan makanan tersebut dihantar ke beberapa lokasi yang telah dikenal pasti seperti surau, masjid, Projek Perumahan Rakyat (PPR), pangsapuri kos rendah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sebagainya.
"Program ini telah bermula pada 4 Mac dan memasuki hari keempat pada semalam (Jumaat) yang mana jumlah keseluruhan lebihan makanan yang dikumpulkan ialah 1,866.9 kg melibatkan 231.4 kg hari pertama, kedua 564.2 kg, ketiga 488.4kg dan keempat 582.9kg.
"Lebihan makanan ini seterusnya diagihkan kepada yang memerlukan melibatkan beberapa lokasi seperti Pangsapuri Teratai Seksyen U16, Politeknik Shah Alam, Surau Al Amin Seksyen 19, Pangsapuri PPR Kampunh Baru Hicom Seksyen 26 dan Pangsapuri Melewar Seksyen U1.
"MBSA secara tidak langsung membantu menyampaikan sumbangan dari para peniaga kepada golongan yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Untuk rekod, program MySave Food@Ramadan Bazar 2025 telah memasuki siri kelima dan berlangsung selama 14 hari bermula 4 hingga 20 Mac ini.
Inisiatif itu dilaksanakan bertujuan mengelak pembaziran makanan di bazar Ramadan, namun mengurangkan sisa untuk dihantar ke tapak pelupusan selain dapat membantu golongan kurang memerlukan.
Tahun lalu, lebih 7,000 kg atau tujuh tan metrik berjaya dikumpul menerusi program ini membabitkan tiga lokasi bazar Ramadan dan diagihkan ke 17 lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
