Menuju era baharu cip AI buatan tempatan

MALAYSIA kini berada di landasan tepat untuk melangkah ke era baharu dalam membangunkan gelombang semikonduktor kedua menerusi jalinan kerjasama strategik dengan Arm Holdings Inc, iaitu sebuah syarikat reka bentuk cip terkemuka dunia.
Perkembangan tersebut bukan sahaja menandakan peralihan teknologi negara, tetapi turut membuka jalan untuk penghasilan cip kecerdasan buatan (AI) buatan Malaysia yang akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang dalam negara bagi pasaran global.
Melalui kerjasama ini juga, syarikat tempatan terpilih akan mendapat akses kepada teknologi terkini sekali gus dijangka memacu inovasi dalam pembangunan cip AI serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Syarikat tempatan juga dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam reka bentuk dan pengeluaran cip sekali gus memenuhi keperluan global yang semakin meningkat terhadap teknologi berkenaan.
Selain itu, dengan sokongan teknologi dan latihan daripada Arm Holdings Inc, syarikat tempatan juga dijangka mampu bersaing di peringkat global dan seterusnya merangsang pertumbuhan eknonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri teknologi.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerjasama strategik negara bersama Arm Holding Inc sebagai peralihan pendekatan terhadap teknologi yang bakal mencorakkan masa depan negara.
Beliau berkata, perkara itu memfokuskan tiga ciri utama iaitu pertama mewujudkan program latihan komprehensif bagi 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) serta perancangan padu bakat untuk industri semikonduktor negara.
Kedua, ia akan menyediakan akses teknologi canggih dan portfolio protokol internet (IP) Arm Holdings Inc kepada syarikat terpilih tempatan.
Ciri ketiga pula adalah untuk memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan yang akan memajukan matlamat negara dalam menghasilkan cip lebih canggih di Malaysia.
Arm Holdings Inc berpangakalan di Cambridge, United Kingdom (UK), terkenal sebagai perintis reka bentuk seni bina cip pemprosesan dan digunakan dalam pelbagai peranti elektronik termasuk telefon pintar, komputer serta kenderaan.
Cip berasaskan syarikat berkenaan digunakan dalam lebih 95 peratus telefon pintar di dunia menjadikannya tulang belakang kepada industri mudah alih.
Sebelum ini, cip yang dibina dan direka bentuk telah dijual kepada syarikat lain seperti Apple, Qualcomm dan Samsung.
Justeru, melalui kerjasama strategik terjalin dengan Malaysia, gelombang semikonduktor kedua negara dapat membangunkan melalui permindahan teknologi, latihan jurutera tempatan dan pembangunan cip AI.
Perkara ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan teknologi negara tetapi juga membuka peluang ekonomi baru, menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam era digital yang semakin berkembang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

