Islam bukan agama ekstrem, terlalu keras

Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebagai agama yang lahir di Timur Tengah, Islam membawa ajaran yang berteraskan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) sepertimana ditegaskan dalam al-Quran.
Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebagai agama yang lahir di Timur Tengah, Islam membawa ajaran yang berteraskan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) sepertimana ditegaskan dalam al-Quran.
A
A
A

SHAH ALAM - Islam bukanlah agama ekstrem atau terlalu ketat seperti yang sering disalahertikan oleh segelintir pihak sebaliknya ia menekankan prinsip kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan termasuk ibadah dan amalan seharian.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebagai agama yang lahir di Timur Tengah, Islam membawa ajaran yang berteraskan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) sepertimana ditegaskan dalam al-Quran.

Menurutnya, konsep itu mencerminkan keseimbangan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi tanpa cenderung kepada sikap melampau.

“Kalau kita lihat alam ciptaan ALLAH, segalanya berjalan secara sederhana dan teratur. Begitu juga dengan ibadat dalam Islam, tidak melampau contohnya puasa dan sembahyang.

“Merujuk kepada kisah Rasulullah SAW, Baginda pernah menegur sahabat yang ingin bersikap keterlaluan dalam ibadah. Baginda menegaskan bahawa Baginda sendiri beribadah di malam hari tetapi tetap berehat, berpuasa tetapi tetap berbuka.

“Persepsi bahawa Islam adalah agama ketat timbul akibat penilaian oleh pihak tidak memahami ajarannya secara menyeluruh. Manusia cenderung memusuhi sesuatu yang mereka tidak kenali, hakikatnya Islam mengajar umatnya berfikir berasaskan iman dan ilmu bukan sekadar mengikut perasaan atau emosi,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohamad Shukri, resipi kerangka pemikiran iaitu menyelesaikan permasalahan furu’iyyah (cabang) perlu diwujudkan dalam usaha melaksanakan dakwah.

“Kita kena lihat bagaimana mahu melaksanakan Islam dan mereformasikan sosial mengikut kerangka Islam, itu yang perlu furu’iyyah kalau tidak, akan berpecah.

“Dalam masa sama, dakwah kena ada agenda perpaduan tulen iaitu memberi perhatian kepada ukhuwah Islamiyah secara bersungguh-sungguh. Bukan seperti sekarang terdapat kelompok seperti perbezaan politik kepartian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, umat Islam perlu mengamalkan prinsip keseimbangan atau wasatiyyah dalam memahami ajaran Islam bagi mengelakkan kecenderungan menjadi terlalu keras atau terlalu longgar dalam beragama.

Beliau memberitahu, menurut panduan al-Quran, golongan terlalu keras dalam beragama perlu diingatkan mengenai nilai rahmah dalam Islam dan keseimbangan yang ditekankan dalam syariah.

“Sementara itu, golongan yang terlalu longgar pula wajar diberi pemahaman mengenai kepentingan disiplin dalam beragama serta bahaya menyeleweng daripada ajaran sebenar.

“Islam mementingkan keseimbangan dalam aspek kehidupan. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh terbaik dalam mengamalkan agama secara penuh hikmah dan tidak melampau,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa salah faham terbesar dalam kalangan umat Islam hari ini ialah memahami agama secara teori tanpa mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Tambahnya, terdapat sebahagian umat Islam mengambil ajaran sesuai dengan kepentingan peribadi dan meninggalkan yang lain.

“Inilah antara punca kelemahan umat Islam hari ini. Umat Islam perlu kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar dengan memperkukuhkan ilmu serta mengamalkan ajaran secara menyeluruh.

“Islam bukan sekadar hukum-hakam, tetapi turut merangkumi aspek kesatuan, perjuangan yang ikhlas dan keseimbangan dalam beragama bagi membentuk masyarakat yang harmoni serta teratur,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!