Pesalah lepas 'Saman Syariah' jika boleh mengaji

JAKARTA – Polis Daerah Lombok Tengah sedang melaksanakan inovasi baharu dalam penguatkuasaan undang-undang lalu lintas menerusi program 'Saman Syariah'.
Media tempatan melaporkan bahawa, program itu merupakan pelaksanaan peraturan lalu lintas bertujuan untuk memberi pendekatan penguatkuasaan undang-undang lebih berperikemanusiaan kepada masyarakat.
Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis Lombok Tengah, Puteh Rinaldi, pengguna kenderaan bermotor melanggar peraturan jalan raya tidak akan terus dikenakan saman.
"Sebaliknya, mereka yang dapat membuktikan kebolehan membaca atau mengaji dengan baik dan betul akan diberikan peluang untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran.
"Jika bacaan mereka lancar, pihak polis tidak akan mengenakan saman terhadap pesalah tersebut," katanya lapor Detik.com pada Rabu.
Tambahnya, pelaksanaan Saman Syariah ini bertujuan untuk memperkukuh nilai-nilai keagamaan dalam masyarakat.
Selain itu, ia juga diharap dapat meningkatkan minat orang ramai untuk membaca al-Quran.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dasar ini akan terus dilaksanakan di Lombok Tengah.
"Program ini bukan sahaja melibatkan anggota polis, tetapi juga masyarakat. Insya-ALLAH, kita semua akan memperoleh ganjaran pahala daripada ALLAH SWT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

