Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu berkesan, lindungi pemberi maklumat

SHAH ALAM - Organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa kerajaan dan ahli Parlimen untuk memastikan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dibuat secara berkesan.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), Rasuah Busters dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) berkata, gesaan itu dibuat bagi menangani kelemahan dan percanggahan undang-undang yang menghalang keberkesanan akta tersebut.
“Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi 1972 bercanggah dengan Seksyen 6 Akta 711 sehingga menimbulkan kekeliruan serta ketakutan dalam kalangan pemberi maklumat.
“Kanun Keseksaan mengkriminalisasikan pendedahan maklumat yang diperoleh dalam tugas rasmi, sedangkan Akta 711 sepatutnya melindungi pemberi maklumat yang melaporkan salah laku.
“Percanggahan itu telah menyebabkan penguatkuasaan tidak konsisten sehingga pemberi maklumat terdedah kepada tindakan balas dan pendakwaan,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini, cadangan untuk penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) merangkumi empat dasar termasuk pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6 membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar, selaras dengan tafsiran di bawah Seksyen 2 Akta 711.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat ditambah baik di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.
Dalam pada itu, kenyataan bersama itu turut menggesa kerajaan untuk meminda Seksyen 6 Akta 711 bagi membolehkan pemberi maklumat membuat pendedahan kepada agensi penguatkuasaan tanpa sekatan undang-undang lain.
“Pindaan terhadap Seksyen 11(1)(a) Akta 711 turut disarankan kerana peruntukan sedia ada mewajibkan perlindungan ditarik balik sekiranya pemberi maklumat terlibat dalam salah laku yang dilaporkan.
“Mereka menegaskan bahawa undang-undang perlu mempertimbangkan keadaan di mana pemberi maklumat bertindak dengan niat baik atau menunjukkan keinsafan. Kedua-dua pindaan adalah penting untuk mengukuhkan perlindungan pemberi maklumat dan memupuk rangka kerja undang-undang yang menggalakkan ketelusan serta akauntabiliti.
“Bukan itu sahaja, bagi mengatasi kelemahan itu, kami juga mencadangkan perkataan "shall" dalam Seksyen 11(1)(a) digantikan dengan "may". Perubahan ini akan memberikan budi bicara kepada agensi penguatkuasaan untuk mengekalkan perlindungan pemberi maklumat berdasarkan situasi kes masing-masing,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, cadangan pindaan ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi satu keperluan penting dan akan menggalakkan pemberi maklumat tampil melaporkan salah laku tanpa takut dikenakan tindakan di bawah undang-undang lain.
“Dengan menangani isu dan meminda bahagian kritikal ini, Malaysia akan bergerak satu langkah ke hadapan bagi usaha memerangi rasuah serta komitmen negara dalam menegakkan integriti atau ketelusan serta tadbir urus yang baik,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
