Penyeludup 'ghaib' selepas campak syabu, air ketum ke sungai

Sebanyak 13.5 liter air ketum dalam satu operasi di perairan negeri ini pada Rabu. Foto Maritim Pahang .(Kanan: Satu bungkusan plastik hitam terapung di dalam sungai, dipercayai telah dibuang oleh suspek. Foto Maritim Pahang)
Sebanyak 13.5 liter air ketum dalam satu operasi di perairan negeri ini pada Rabu. Foto Maritim Pahang .(Kanan: Satu bungkusan plastik hitam terapung di dalam sungai, dipercayai telah dibuang oleh suspek. Foto Maritim Pahang)
A
A
A

KUANTAN - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup 134 gram syabu dan 13.5 liter air ketum dalam satu operasi di perairan negeri ini pada Rabu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Mazlan Mat Rejab berkata, kejayaan ini hasil risikan yang membawa kepada pengesanan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.5 batu nautika utara Sungai Pulau Bewok, sekitar jam 2.40 pagi.

“Bot itu dikesan bergerak menuju ke arah Pulau Bewok ketika Op Makmur dan Op Tiris sedang dijalankan.

"Namun, sebaik menyedari kehadiran bot peronda yang cuba memintas untuk pemeriksaan, bot dinaiki suspek bertindak memecut laju dan menghilangkan diri melalui kawasan cetek dalam kegelapan menuju ke paya bakau berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan kejadian menemukan satu plastik bungkusan hitam terapung di dalam sungai, dipercayai telah dibuang oleh suspek bagi mengelakkan penahanan.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi 11 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dan sembilan botol cecair disyaki air ketum.

"Kita anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,000 dan semua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!