Pertandingan pelita raya tawar hadiah lebih RM40,000

Razali (tengah) bersama Timbalan Exco, Sulaiman Sulong dan Pengarah Tourism Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman ketika sidang akhbar program PeliTer @ KSNT 2025 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Razali (tengah) bersama Timbalan Exco, Sulaiman Sulong dan Pengarah Tourism Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman ketika sidang akhbar program PeliTer @ KSNT 2025 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertandingan Pelita Raya Terengganu 2025 (PeliTer @ KSNT 2025) yang akan diadakan pada 13 hingga 16 Mac depan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM40,000.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan berlangsung di pekarangan tasik, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak di Kuala Nerus itu melibatkan kategori pejabat daerah, agensi dan badan kerajaan.

"Kategori pejabat daerah menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM16,000, manakala kategori agensi dan badan kerajaan menyediakan hadiah bernilai RM18,400.

"Pemenang bagi kedua-dua kategori ini akan menerima hadiah wang tunai dan plak penghargaan sebagai tanda pengiktirafan," katanya ketika sidang akhbar program berkenaan di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Menurutnya, PeliTer @ KSNT 2025 turut menganjurkan pertandingan kategori media sosial menerusi platform Facebook dan TikTok dengan hadiah keseluruhan RM1,800.

"Pertandingan media sosial ini bertujuan menggalakkan masyarakat memeriahkan lagi suasana pelita raya melalui kreativiti di media sosial.

"Program ini turut melibatkan penyertaan negeri jiran seperti Kelantan dan Perlis serta negara luar seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia, dan Nepal," katanya.

Ujar beliau, program ini juga menjadi pembuka tirai kepada pelaksanaan Ramadan @ Terengganu 1446H/2025M yang menawarkan 101 aktiviti termasuk Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, Madinah Ramadan, dan pelbagai program anjuran agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta.

Jelasnya, sebanyak 23 acara utama akan dipromosikan menerusi e-brosur sebagai rujukan pelancong sebelum dan semasa berada di Terengganu sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!