Jururawat rugi RM40,000 diperdaya ‘Love Scam’

JOHOR BAHRU – Seorang jururawat yang bekerja di Singapura mengalami kerugian RM40,000 selepas menjadi mangsa sindiket ‘love scam’ oleh seorang lelaki yang dikenalinya menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 24 tahun dan menetap di daerah ini mendakwa kejadian bermula pada 22 Februari lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga China.
“Suspek menggunakan identiti palsu ketika berkenalan dengan mangsa sebelum mengajaknya bertemu di bandaraya Johor Bahru pada 1 Mac lalu.
“Bagaimanapun, sebelum pertemuan itu, suspek meminta wang sebagai ‘jaminan’ kononnya untuk keluar dari tempat kerja,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Raub, mangsa yang terperdaya telah membuat 11 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza pada hari kejadian dengan jumlah keseluruhan RM40,000.
“Transaksi tersebut melibatkan satu aplikasi dan dua akaun bank tempatan, membabitkan jumlah RM4,889.25, RM5,200 serta SGD10,700.
“Selepas menerima wang, suspek terus mendesak mangsa untuk membuat bayaran tambahan, menyebabkan mangsa mula menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga akaun tersebut belum mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam mengenali individu di media sosial serta membuat semakan menerusi portal Semak Mule CCID bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

