Inisiatif Mesir bina semula Gaza dapat lampu hijau

Penduduk Gaza hidup dalam keadaan serba daif dan hanya berlindung di bawah khemah sementara akibat perang genosid dilancarkan Israel yang membinasakan struktur di wilayah itu.
Penduduk Gaza hidup dalam keadaan serba daif dan hanya berlindung di bawah khemah sementara akibat perang genosid dilancarkan Israel yang membinasakan struktur di wilayah itu.
A
A
A

KAHERAH - Pemimpin Arab pada Selasa sebulat suara menerima pakai rancangan dikemukakan Mesir tentang pembinaan semula Genting Gaza di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kesepakatan itu dicapai ketika Sidang Kemuncak Liga Arab yang berlangsung di Kaherah, sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi sokongannya terhadap idea Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kononnya menawarkan rancangan alternatif kepada pelan komprehensif Arab tersebut.

Sesi itu turut mengumumkan penubuhan dana amanah untuk membiayai projek pembangunan semula wilayah tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa supaya menyokong inisiatif berkenaan.

“Semua usaha ini berjalan selari dengan pelancaran landasan politik ke arah mewujudkan negara merdeka Palestin. Pemimpin Arab juga menyambut baik keputusan Palestin untuk menubuhkan jawatankuasa pentadbiran Gaza di bawah payung kerajaan Palestin,” ujar Liga Arab dalam satu kenyataan.

Sidang kemuncak itu menggesa perwakilan Palestin supaya bersatu di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang merupakan kuasa politik dominan PA.

Difahamkan, PA pernah mentadbir Gaza sebelum diambil alih oleh Hamas pada 2007 dan berdepan kepungan haram Israel selama 16 tahun.

Sehingga kini, negara Arab bersama kebanyakan pemimpin Eropah menolak idea mengarut Trump yang mahu mengambil alih Gaza dan menjadikannya sebagai 'Riviera Asia Barat' serta menolak sekeras-kerasnya rancangan pemindahan paksa penduduk Palestin.

Pemimpin sarat kontroversi itu bagaimanapun cuba 'berlembut' apabila menyatakan beliau tidak akan 'memaksa' rancangan tersebut yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menyatakan pelan itu akan memastikan penduduk Palestin kekal di tanah air mereka.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan akhir sidang kemuncak itu juga memberi amaran terhadap sebarang cubaan jahat yang mahu mengusir penduduk Palestin yang bakal mencetuskan fasa baharu konflik di Asia Barat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam satu kenyataan menzahirkan sokongan terhadap inisiatif Kaherah tersebut dan memaklumkan badan antarabangsa itu bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!