Ramadan 2025 'lebih tenang' di Gaza

Penduduk Palestin berbuka puasa beramai-ramai di kawasan dikelilingi runtuhan struktur di Rafah, selatan Gaza.
Penduduk Palestin berbuka puasa beramai-ramai di kawasan dikelilingi runtuhan struktur di Rafah, selatan Gaza.
A
A
A

GENTING GAZA - Sebelum perang genosid meletus pada Oktober 2023, ketibaan Ramadan paling dinantikan penduduk Palestin di Genting Gaza.

Keadaan kini berbeza buat Fatima al-Absi, 57, di Jabalia, utara Gaza.

"Saya tidak lagi dapat membuat persiapan seperti membeli-belah menjelang Ramadan, melawat saudara-mara dan beribadat di masjid. "Segala-galanya sudah berubah. Tiada rumah, tiada makanan yang sempurna dan tidak lagi dapat menjalani aktiviti biasa sepanjang Ramadan," katanya yang kehilangan suami dan menantu lelaki akibat kempen pengeboman ganas Zionis.

Kedatangan bulan suci itu adalah pada hari ke-42 atau hari terakhir fasa pertama perjanjian gencatan senjata rapuh selain masa depan di Gaza yang masih tidak jelas.

Peniaga di tepi jalan kembali menjual pelbagai barangan termasuk bahan masakan di pasar lama Zawiya di Bandar Gaza.
Peniaga di tepi jalan kembali menjual pelbagai barangan termasuk bahan masakan di pasar lama Zawiya di Bandar Gaza.

Berbanding pada Ramadan tahun lalu, ramai penduduk Palestin menarik nafas lega setelah pelaksanaan tempoh bertenang itu pada 19 Januari lalu.

Kebanyakannya masih bimbang dengan nasib mereka selain sebahagian besar kekal trauma dengan perang ganas yang berlarutan selama lebih 15 bulan.

"Saya sudah tiada apa-apa. Hidup makin sukar. Semoga ALLAH memberi kekuatan dan kesabaran kepada kami untuk menempuhi ujian ini. Kami takut kerana tiada jaminan keamanan ini akan berkekalan," ujar al-Absi sambil menambah dia berharap peperangan itu akan berakhir sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Sebuah keluarga menyediakan makanan untuk berbuka puasa di dapur sementara di luar khemah mereka.
Sebuah keluarga menyediakan makanan untuk berbuka puasa di dapur sementara di luar khemah mereka.

Ramadan 2024 lebih teruk

Bagi Amal Abu Sariyah di Bandar Gaza, suasana Ramadan pada kali ini lebih baik.

"Kami tidak boleh jangkakan apa akan berlaku pada masa akan datang. Keadaan tidak seteruk pada tahun lalu meskipun wilayah ini sudah binasa. Kami tetap meraikan Ramadan bersama-sama," menurutnya.

Abu Sariyah turut mengimbau detik hitam ketika mereka dihujani bom dan terpaksa berpindah-randah tanpa hala tuju pada Ramadan tahun lalu.

"Rundingan senjata pada masa itu tergendala dan diburukkan lagi dengan krisis kebuluran serta tiada tanda perang akan tamat," jelasnya.

Penduduk Palestin menunaikan solat berjemaah di Masjid Omari di Bandar Gaza.
Penduduk Palestin menunaikan solat berjemaah di Masjid Omari di Bandar Gaza.

Di bandar selatan Khan Yunis, Fatima Barbakh berkata, komuniti di sana tidak dapat membuat persiapan seperti biasa dan hanya terhad untuk mendapatkan keperluan asas.

"Kami tidak boleh membeli hiasan atau lampu gantung seperti yang biasa dilakukan setiap kali ketibaan Ramadan," ujarnya.

Difahamkan, sejumlah kedai dan pasar yang separa musnah di Gaza telah dibuka semula malah penjaja di tepi jalan juga kembali berniaga seperti sebelum perang tercetus.

Juadah yang dinikmati penduduk Gaza ketika berbuka puasa juga tidak banyak pilihan seperti sebelum ini.

Kacang dalam tin antara menu utama yang akan dihidangkan bersama nasi, molokhia (sup ikonik Mesir) atau pelbagai jenis sayur-sayuran yang mampu dibeli oleh mereka.

Walaupun sebahagian besar masjid musnah dibedil, ia tidak menghalang penduduk Gaza untuk beribadat yang mana mereka tetap menunaikan solat tarawih di rumah yang separa binasa dan di bawah khemah sementara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!