Kes tipu jual kereta Lamborghini: Polis kesan Lim Voi Heng

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan jual kereta Lamborghini Aventador S bernilai RM2.4 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan pada 19 Februari lalu.
“Menurut pengadu, seorang lelaki dikenali sebagai Lim Voi Heng menawarkan untuk menjual sebuah kereta Lamborghini Aventador S yang bernilai RM2.4 juta pada Jun 2020
“Pengadu telah beberapa kali berjumpa lelaki berkenaan dan turut memandu uji sebuah kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran beralamat di Puchong, Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Rabu.
Ramli berkata, selain itu, mangsa turut ditunjukkan borang import Kastam bagi membuktikan bahawa kereta yang ingin dibelinya telah diimport masuk ke Malaysia.
“Bermula 15 Jun 2020, pengadu telah membuat 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat yang diarahkan oleh suspek.
“Bagaimanapun, pada Januari 2022, pengadu telah menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan bagi kereta yang ingin dibelinya,” jelasnya.
Menurutnya, lelaki itu berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta tersebut.
“Sehingga kini, mangsa tidak menerima kereta yang dijanjikan malah lelaki tersebut juga telah menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Ramli berkata, pegawai penyiasat sedang mengesan Voi Heng yang mempunyai alamat terakhir di sebuah pangsapuri di Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor.
"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
