Nancy dedah rahsia empat penggal kekal jadi ahli Parlimen

Nancy (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nancy (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sikap suka membantu dan sentiasa turun padang menjadi kunci utama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mampu kekal sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak, untuk tiga penggal berturut-turut sebelum kini bergelar Ahli Parlimen Santubong.

Menyingkap kembali sejarah pembabitan dalam dunia politik, Nancy berkata, sebelum menyertai politik beliau pernah berkhidmat Ketua Bahagian Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (1992-2003) sebelum terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik.

Nancy (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nancy (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman peribadinya, Nancy berkata, beliau sebenarnya tidak pernah bermimpi menyertai politik, apatah lagi berimpian menjadi menteri kabinet seperti sekarang.

"Pada awalnya, saya tidak pernah terlintas langsung untuk memasuki dunia politik dan menjadi menteri, malah berpendapat kejayaan berkenaan bukanlah bidang ingin diceburi.

"Namun, perjalanan hidup saya dalam dunia politik bermula selepas dipelawa oleh Premier Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan bertanding di Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Biarpun tanpa pengalaman dan bukan berasal dari situ, namun saya tetap bertanding dan selalu turun padang bersama NGO supaya dikenali penduduk setempat sekali gus menang kerusi Parlimen Batang Sadong buat pertama kali pada 2008," katanya ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Orang ramai khusyuk mendengar perkongsian tetamu jemputan rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Orang ramai khusyuk mendengar perkongsian tetamu jemputan rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rancangan yang dihos oleh pelakon, pengacara dan penyanyi wanita, Ain Edruce itu turut menampilkan dua tetamu undangan lain iaitu penyayi Sissy Imann dan bekas peserta program realiti berunsur Islam, Da’i Izzhar Nazri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nancy berkata, antara cabaran utama menjadi ahli politik adalah untuk membahagikan masa bersama keluarga, tugas sebagai wakil rakyat dan menteri.

"Sebagai wanita, kita perlu bijak menguruskan masa antara kerjaya dan keluarga. Jangan terlalu tertekan dengan persaingan yang ada.

"Sebaliknya, fokus pada diri sendiri, kekuatan diri dan pencapaian yang ingin dicapai. Kita tak perlu bersaing dengan orang lain, tetapi bersainglah dengan diri sendiri untuk menjadi lebih baik setiap hari," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkasakan wanita dengan menyediakan pelbagai inisiatif yang membantu mereka mengimbangi kehidupan kerjaya dan keluarga.

Berikutan itu, Nancy berkata, kementeriannya memperkenalkan satu kursus khas bagi membantu suri rumah menguruskan rumah tangga mereka dengan lebih baik terutama mereka yang perlu menjaga warga emas dan anak kecil.

“Banyak wanita yang ingin bekerja, tetapi kos untuk mendapatkan penjaga yang berkemahiran tinggi adalah sangat mahal.

"Kerajaan sedang berusaha memberikan kursus kecakapan penjaga untuk membantu wanita ini," katanya.

Beliau menambah, penjaga yang berkemahiran tinggi dapat membantu wanita untuk kembali bekerja tanpa kebimbangan tentang kebajikan keluarga mereka.

"Saya juga berterima kasih kepada majikan yang sudi memberi kelonggaran kepada wanita untuk bekerja mengikut jadual fleksibel dan kerja dari rumah bagi membolehkan mereka mengimbangi tugas profesional dan tanggungjawab peribadi.

"Faktor-faktor ini amat penting untuk memastikan wanita dapat kembali ke dunia kerja dan mencapai matlamat negara untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus pada masa depan,” jelas beliau.

Berikutan itu, Nancy berkata, kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menawarkan kaunseling profesional kepada individu yang mengalami tekanan mental dan emosi.

"Kita harus memberi perhatian terhadap masalah kesihatan mental yang semakin meningkat, terutamanya di kalangan wanita.

"Oleh itu, PSSS menawarkan talian bantuan dan kaunselor untuk memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan," kata Datuk Seri Nancy.

Beliau juga mendedahkan bahawa talian bantuan 15999 yang disediakan oleh kerajaan telah memberi sokongan kepada hampir 2,000 kaunselor di seluruh negara.

Katanya, kewujudkan perkhidmatan berkenaan membolehkan wanita yang menghadapi tekanan atau kemurungan boleh mendapatkan bantuan dengan lebih mudah dan secara peribadi.

"Kita ingin memastikan bahawa setiap wanita mempunyai ruang untuk berbicara, mendapatkan sokongan dan merasa yakin bahawa mereka tidak berseorangan dalam menghadapi cabaran," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!