Warga emas maut dirempuh kereta

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Pekan di sini pada Ahad.
Insiden berlaku kira-kira jam 6.30 petang mengakibatkan mangsa, Zakaria Omar, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, lelaki berusia 27 tahun bersama penumpang wanita dan bayi perempuan berusia empat bulan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Wira dipandu juru kimpal itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pekan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa sedang bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba mangsa menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 dari lorong kiri melintas masuk ke lorong kanan dipercayai untuk membuat pusingan U.
"Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa bersama motosikalnya menyebabkan warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

