Beras tempatan sukar diperoleh sejak hujung tahun lalu

SHAH ALAM - Bekalan beras putih tempatan masih sukar didapati di pasaran dan dipercayai belum tersedia untuk dijual kepada pelanggan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya terkemuka di sekitar Lembah Klang mendapati hanya kategori beras putih import (BPI) yang berada di rak jualan dengan pelbagai jenama.
Seorang jurujual di sebuah pasar raya mendakwa, beras tempatan tidak masuk ke pasar raya itu sejak tiga bulan lalu menyebabkan pelanggan terpaksa membeli beras import.

“Sejak pengumuman pihak kementerian mahu menghantar beras putih tempatan itu bermula semalam (Sabtu), ramai yang datang untuk membeli tetapi kami sendiri pun tidak mempunyai bekalan sejak tiga bulan lalu.
“Kebanyakan pelanggan sekarang membeli beras import sahaja termasuk juga warga asing,” katanya pada Ahad.
Seorang suri rumah, Jariah Salam, 64, turut mengakui bahawa sudah tidak membeli beras putih tempatan berikutan sukar mendapatkan bekalan beras itu walaupun pergi ke beberapa pasar raya.
“Saya juga tertanya-tanya mengenai cara mengenal pasti pihak yang boleh membeli beras tempatan bersubsidi ini tetapi diharapkan ia benar-benar membantu golongan B40 seperti kami dan tidak dijual kepada warga asing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
