Polis siasat laporan Noraniza Idris dakwa perniagaan muruku ditipu RM630,000

SHAH ALAM - Polis menyiasat dakwaan penyanyi, Noraniza Idris, 57, mengenai perniagaan muruku miliknya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian hampir RM630,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, keterangan percakapan penyanyi itu telah diambil pihaknya.
"Keterangan beliau (Noraniza) telah direkodkan.
"Kes melibatkan penyanyi wanita itu dikendali dan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Terdahulu media melaporkan Noraniza membuat laporan berhubung kes itu di IPD Shah Alam, di sini.

Penyanyi itu mendakwa dia menyedari ditipu selepas akademi berkenaan gagal membuat sebarang pembayaran selepas mengambil produk muruku miliknya.
Akademi latihan keusahawanan itu didakwa telah mengambil produk makanan itu selama lebih sebulan dan dianggarkan sekitar 20,000 pek.
Noraniza dilaporkan menerima pelawaan akademi itu kerana niat ingin membantu, selain menyokong aktiviti amal kebajikan.
Namun begitu katanya, niat baik itu dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar kira-kira RM3,000 secara berperingkat.
Jelasnya, dia hanya menyedari ditipu pada Jun tahun lalu, setelah kerap menuntut bayaran tetapi pelbagai alasan diberikan sehingga jumlah kerugian mencecah RM630,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
