Trafik i-Akaun meningkat, pencarum tak sabar semak dividen KWSP

Tangkap layar status aplikasi KWSP i-Akaun yang mengalami aliran trafik tinggi dan masih diselenggara.
Tangkap layar status aplikasi KWSP i-Akaun yang mengalami aliran trafik tinggi dan masih diselenggara.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sejurus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk 2024, aplikasi i-Akaun mengalami aliran trafik yang tinggi.

Ia kerana pencarum merasa tidak sabar untuk menyemak akaun masing-masing dan berkira-kira mengenai jumlah agihan yang bakal diterima.

Menurut Facebook rasmi KWSP, ahli boleh menyemak penyata terkini bermula 2 Mac (Ahad) berikutan aplikasi KWSP i-Akaun masih dalam fasa naik taraf dan penyelenggaraan.

“Aplikasi sedang mengalami aliran trafik yang tinggi. Pencarum digalakkan membuat semakan melalui KWSP i-Akaun bermula 2 Mac ini.

“Kunjungi laman sesawang dan media sosial kami untuk maklumat terkini,” katanya pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP 2024 berkata, angka berkenaan membabitkan agihan berjumlah RM73.24 bilion.

Nampaknya, rakyat khususnya pencarum KWSP mulai tersenyum lebar kerana pengumuman berkenaan boleh dianggap sebagai hadiah awal bulan Mac.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh dikatakan berita gembira sebelum umat Islam mula berpuasa pada Ahad.

Sebelum ini, penganalisis dan pakar ekonomi meramalkan bahawa kadar dividen KWSP 2024 berada dalam julat 6.0 hingga 6.3 peratus, didorong oleh keadaan ekonomi global dan domestik yang memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, terdahulu turut menjangkakan KWSP bakal memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya berikutan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga tahun lalu.

Untuk rekod, KWSP mengisytiharkan dividen pada kadar 5.50 peratus pada 2023 bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

Bagi Simpanan Shariah, kadar dividen 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP kini mempunyai kira-kira 16 juta ahli, dengan lebih 8.5 juta daripadanya adalah pencarum aktif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!