Pegawai penguat kuasa disyaki terima rasuah lupus diesel RM87,400 direman seminggu

ALOR SETAR - Seorang pegawai penguat kuasa di negeri ini disyaki terlibat menerima rasuah bagi melupuskan minyak diesel bernilai RM87,400.00 di bawah harga pasaran direman selama tujuh hari.
Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah telah mengeluarkan perintah reman bermula Khamis sehingga 19 Februari ini terhadap suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 4 petang pada Rabu semasa hadir bagi memberi keterangan di SPRM Kedah.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025 dengan menerima rasuah sebagai dorongan untuk melupuskan 46,000 liter minyak pada harga di bawah pasaran iaitu RM1.90/liter berbanding harga pasaran yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu RM2.95/liter.
“Pelupusan ini dilakukan ke atas minyak yang merupakan rampasan hasil daripada tindakan penguatkuasaan melibatkan kesalahan di bawah seksyen 115(1)(c) Akta Kastam 1967," katanya pada Khamis.
Menurutnya, namun hanya 30,000 liter diikrarkan sebagai pelupusan manakala bakinya disyaki dilupuskan tanpa diikrarkan dengan menerima rasuah berjumlah RM30,400.00 yang dibayar melalui tunai.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!