Korban kerja jaga isteri hidap kanser payudara tahap tiga

Mohd Syahadel kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada Rohaini selepas mengorbankan kerjayanya demi menjaga isteri tercinta.
Mohd Syahadel kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada Rohaini selepas mengorbankan kerjayanya demi menjaga isteri tercinta.
A
A
A

LUMUT - Demi kasih dan tanggungjawab, seorang suami terpaksa mengorbankan kerjaya untuk menjaga isteri tercinta yang menghidap kanser payudara tahap tiga.

Mohd Syahadel Ramli, 38, nekad meninggalkan pekerjaannya sebagai operator di Pelabuhan Lumut sejak dua bulan lalu selepas keadaan isterinya, Rohaini Amran Huzi, 39, semakin merosot akibat penyakit yang dihidapi sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, kehilangan pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan begitu dirasai namun terpaksa menerima hakikat bahawa khidmat bakti terhadap isteri lebih utama.

"Saya terpaksa ambil keputusan ini walaupun sukar kerana tiada siapa yang menjaga isteri. Sebelum ini isteri saya pernah terjatuh tidak sedarkan diri seorang diri di rumah dan kejadian itu merisaukan saya.

“Sekarang saya sedang berusaha mencari kerja lain yang lebih sesuai supaya dapat terus menjaga isteri.

"Dengan keadaan sekarang, Ramadan kali ini cukup berbeza kerana kami sekeluarga terpaksa berjimat, sekadar makan apa yang ada,” luahnya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 4 Segari di sini baru-baru ini.

Mohd Syahadel berkata, isterinya kini tidak mampu menguruskan diri dan hanya duduk di kerusi roda malah tidur juga terpaksa dalam keadaan duduk kerana jika berbaring akan mengalami kesukaran bernafas.

Jelasnya, kanser tersebut mula merebak ke bahagian ketiak menyebabkan tangan kanan Rohaini semakin membengkak dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Manjung serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menjalani rawatan susulan.

Katanya, pendapatan kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM500 selain sumbangan kotak makanan daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syahadel berkata, dua anak mereka yang berusia 13 dan 8 tahun masih bersekolah, namun segala perbelanjaan rumah semakin menghimpit kerana kos rawatan dan ubat isterinya menjadi keutamaan.

Sementara itu, Rohaini mengharapkan penyakit dihidapi segera sembuh agar keluarganya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti sebelum ini.

Dia juga merayu kepada mana-mana pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menaja rawatan atau berjumpa dengan pakar bagi memastikan penyakit yang dideritai dapat diubati.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan atau bantuan kepada Rohaini boleh menghubungi Mohd Syahadel di talian 011-26235105.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!