MCA disaran tanding sendirian untuk uji sokongan

SHAH ALAM - Tuntutan MCA untuk bertanding dalam semua Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dilihat sukar dipenuhi.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, selaku parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA memerlukan watikah daripada Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Menurutnya, sukar untuk memenuhi tuntutan tersebut dalam situasi politik semasa dan kedudukan MCA yang lemah.
“Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong sendiri menekankan parti tersebut perlu memenangi lebih banyak kerusi kerana tanpa kemenangan ia boleh terus hilang relevansi dalam landskap politik negara.
“Namun sejarah menunjukkan kekuatan MCA banyak bergantung pada kerjasama dengan UMNO termasuk undi orang Melayu. Keputusan PRU15 menyaksikan MCA hanya menang dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN, sekali gus membuktikan penurunan drastik sokongan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Zaharuddin Sani menegaskan, ia jelas menunjukkan MCA sudah kehilangan majoriti undi masyarakat Cina yang kini dilihat beralih kepada DAP.
“Hasrat MCA untuk mengukuhkan kuasa politik dengan bergantung kepada undi Cina adalah strategi yang hampir mustahil tanpa perubahan struktur atau ideologi parti.
“Dasar MCA yang dilihat fokus semata-mata kepada masyarakat Cina tanpa membawa naratif baharu sering menjadi punca pengundi kaum lain dan komuniti bandar menolak parti itu,” jelasnya.
Katanya, sekiranya MCA berkeras bertanding di semua kerusi yang dikehendaki, ia juga akan mencetuskan konflik besar antara parti komponen dalam kerajaan Perpaduan, khususnya DAP.
“Isu tuntutan kerusi seterusnya membawa kepada pertandingan sesama sendiri di kawasan tertentu yang akhirnya mengakibatkan undi berpecah dan memberi kelebihan kepada pembangkang,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar MCA keluar dari gabungan BN untuk mencuba nasib secara bersendirian sekiranya parti itu percaya mampu berdiri kukuh tanpa bergantung kepada UMNO dan BN.
“Langkah berani itu akan menjadi ujian sama ada pengaruh MCA masih kukuh atau hanya bergantung pada struktur lama gabungan.
“Namun keputusan ini memerlukan persediaan rapi, termasuk reformasi dalaman parti serta strategi penjenamaan semula yang boleh menarik semua golongan masyarakat, bukan hanya pengundi Cina,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

