Filem Palestin-Israel, No Other Land menang Dokumentari Terbaik

KARYA kolaboratif antara Palestin dan Israel iaitu No Other Land telah memenangi trofi kategori Dokumentari Cereka Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 (Oscar) di Hollywood, Los Angeles, California pada Ahad.
No Other Land, sebuah filem mengenai perjuangan rakyat Palestin mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan oleh tentera Israel, berjaya mengatasi filem lain dalam kategori sama seperti Porcelain War, Sugarcane, Black Box Diaries, dan Soundtrack to a Coup d’État.
Filem yang diterbitkan pada tahun lalu itu mengikuti perjalanan aktivis Palestin, Basel Adra, yang mempertaruhkan kebebasan untuk merakam kemusnahan kampung halamannya di Masafer Yatta.
Tentera Israel telah merobohkan kawasan itu untuk dijadikan zon latihan ketenteraan di selatan Tebing Barat.
Rintihan Adra tidak mendapat perhatian sehingga dia berkawan dengan seorang wartawan Yahudi-Israel, Yuval Abraham, yang membantunya menyebarkan kisah tersebut kepada dunia.
Ketika menerima anugerah, Adra berkata, No Other Land mencerminkan realiti perit yang telah dialami rakyat Palestin selama berdekad-dekad.
“Kira-kira dua bulan lalu, saya menjadi seorang ayah dan harapan untuk anak perempuan saya supaya dia tidak perlu menjalani kehidupan seperti saya sekarang; sentiasa takut kepada peneroka haram, keganasan, perobohan rumah, dan pengusiran paksa yang dialami komuniti saya setiap hari di bawah pendudukan Israel,” kata Adra seperti dilaporkan media antarabangsa.
Beliau turut menyeru dunia untuk mengambil tindakan serius bagi menghentikan ketidakadilan dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
Abraham pula berkata, mereka menghasilkan filem itu bersama kerana suara mereka lebih kuat apabila bersatu.
“Kami melihat satu sama lain, kemusnahan dahsyat Gaza dan rakyatnya mesti dihentikan. Tebusan Israel yang diculik secara kejam dalam jenayah 7 Oktober mesti dibebaskan,” ujarnya.
Abraham mengkritik rejim Israel yang telah memusnahkan kehidupan Adra, sambil menegaskan bahawa ada jalan lain penyelesaian politik tanpa kemusnahan etnik dengan hak nasional untuk kedua-dua bangsa mereka.
Namun, katanya, dasar luar Amerika Syarikat telah menghalang jalan tersebut.
“Tidakkah anda melihat bahawa nasib kita saling berkait? Masih belum terlambat untuk memilih kehidupan. Tiada jalan lain,” tambahnya.
Filem ini berdepan kesukaran mendapatkan pengedar di Amerika Syarikat, menyebabkan para pembuatnya mengatur tayangan khas selama seminggu di Lincoln Center pada November lalu bagi memenuhi syarat pencalonan Oscar.
Filem tersebut sebelum ini memenangi Anugerah Pilihan Penonton dan Anugerah Dokumentari di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada Februari 2024, serta anugerah Filem Bukan Fiksyen Terbaik daripada New York Film Critics Circle.
No Other Land banyak bergantung kepada rakaman kamera peribadi Adra, yang mendokumentasikan tentera Israel merobohkan sekolah, kampung dan mengisi telaga air dengan simen bagi menghalang penduduk membina semula penempatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


