238 jerat sasar harimau di Hutan Simpan Royal Belum dimusnahkan

IPOH - Sebanyak 238 jerat haiwan berjaya dikesan dan dimusnahkan di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik yang merupakan habitat kepada spesies Harimau Malaya.
Pemangku Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Lau Ching Fong berkata, krisis jerat yang berlaku antara 2016 hingga 2017 itu berjaya mengesan ratusan jerat yang dipasang sindiket pemburu haram warga asing.
"Jerat ini boleh digunakan untuk menangkap haiwan kecil seperti ayam hutan sehingga mamalia besar seperti gajah.
"Sindiket memasang perangkap ini dengan menyasarkan haiwan besar terutama Harimau Malaya yang sangat berharga," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kempen 'Roar of Legacy' di pejabat Tourism Management Berhad di sini pada Isnin.

Menurut Ching Fong, inisiatif yang dijalankan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menerusi projek 'stampede' terdiri daripada masyarakat Orang Asli itu berjaya menangani aktiviti pemburuan haram.
"Rondaan secara tetap dan pemasangan kamera perangkap yang dilakukan pasukan ini telah berjaya menangani kegiatan pemburu haram dari tahun ke tahun.
"Tahun lalu, tiada lagi jerat dikesan di kawasan Royal Belum, ia bukan bermaksud tidak berbuat apa-apa tetapi kumpulan ini banyak melakukan pemeriksaan dalam rondaan dilakukan secara intensif dan meluas," katanya.
Dalam usaha memelihara spesies Harimau Malaya dan memperkasa kesedaran ekopelancongan di Perak, kempen 'Roar of Legacy' telah dilancarkan melalui kerjasama antara Tourism Perak Management Berhad dan (WWF) Malaysia.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaanHarimau Malaya yang populasinya dianggarkan kurang 150 ekor.
"Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja memberi perhatian kepada usaha pemuliharaan, tetapi juga bagaimana elemen pemuliharaan boleh digabungkan dengan pembangunan sektor pelancongan.
"Antara langkah yang akan diambil termasuk memperkenalkan program pelancongan berasaskan pemuliharaan, mewujudkan lebih banyak aktiviti pendidikan alam sekitar serta menggalakkan amalan pelancongan bertanggungjawab dalam kalangan pelancong dan pengusaha industri," katanya.
Tambah beliau, kejayaan kempen ini bergantung kepada penglibatan semua pihak dalam menyampaikan maklumat kepada pelancong tetapi juga sebagai duta dalam menggalakkan amalan pelancongan yang lebih bertanggungjawab.
"MoU ini adalah bukti komitmen kita untuk mengimbangi pertumbuhan industri pelancongan dengan pemuliharaan alam sekitar dengan gabungan kepakaran Tourism Perak dan WWF Malaysia.
"Kita juga berharap agar kerjasama ini akan berkembang lebih jauh dengan lebih banyak program dan inisiatif diperkenalkan untuk meningkatkan populasi Harimau Malaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
