Pembantu kedai makan dipenjara tiga bulan buang mayat bayi dalam longkang

HULU TERENGGANU - Tindakan seorang pembantu kedai makan yang menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayinya ke dalam longkang membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Hukuman itu diputuskan Majistret Athirah Hashim ke atas tertuduh, Nur Ain Adilin Mohd. Rofiza, 23, selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM5,000 atau berdepan tambahan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal berbuat demikian.
Hukuman penjara diperintahkan bermula dari tarikh sabitan.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang kanak-kanak dengan cara membuang mayat bayi berkenaan ke dalam longkang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Perumahan Awam Kos Rendah, Padang Setengah, Kuala Berang di sini kira-kira jam 10 malam pada 15 Oktober lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian tersebut terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat bayi di dalam longkang kawasan perumahan berkenaan sekitar jam 6.52 petang pada 16 Oktober.
Susulan penemuan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan tertuduh di sebuah kiosk di tepi jalan besar Kampung Telaga, Kuala Berang pada 17 Oktober.
Siasatan lanjut mendapati wanita itu dipercayai bertindak sedemikian semata-mata untuk menyembunyikan kelahiran anaknya.
Mayat bayi berkenaan juga telah menjalani proses bedah siasat, manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan analisis lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Aziah Bunawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

