'Tak mahu jadi mangsa 'scammer', jangan percaya panggilan sambung-sambung'

Syarikat perbankan tidak akan sesekali membuat panggilan kepada pelanggan serta menyambung panggilan kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti polis, imigresen, pihak mahkamah atau Bank Negara Malaysia.
Syarikat perbankan tidak akan sesekali membuat panggilan kepada pelanggan serta menyambung panggilan kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti polis, imigresen, pihak mahkamah atau Bank Negara Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Tak mahu jadi mangsa 'scammer', jangan layan dan percaya mana-mana panggilan sambung-sambung' yang kononnya daripada syarikat perbankan."

Demikian tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyarankan orang ramai agar lebih peka apabila menerima sebarang panggilan.

Beliau berkata, syarikat perbankan tidak akan sesekali membuat panggilan kepada pelanggan serta menyambung panggilan kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti polis, imigresen, pihak mahkamah atau Bank Negara Malaysia.

Kata beliau, setiap panggilan yang disambungkan merupakan taktik sindiket penipuan untuk menakutkan mangsa, sehingga sanggup memindahkan wang dengan mudah selepas diperdaya.

"Ingin saya tegaskan, sekiranya pihak perbankan menghubungi pelanggan, ia merupakan panggilan antara syarikat bank tersebut dengan pelanggan mereka sahaja tanpa membabitkan panggilan daripada pihak ketiga atau keempat.

"Apabila panggilan pihak bank disambungkan kepada pihak lain yang kononnya adalah polis atau mahkamah atau mana-mana agensi penguatkuasa, maka ia adalah satu bentuk penipuan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengiktirafan Wira Bank #JanganKenaScam 2025.

Hadir sama Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank.

Pada majlis itu, seramai 67 kakitangan daripada 10 syarikat perbankan telah diiktiraf sebagai Wira Bank kerana berjaya menghalang penipuan termasuk jenayah komersial.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka secara kolektif telah menghentikan transaksi penipuan berjumlah lebih dari RM12.4 juta.

Semua wira bank itu mewakili Maybank, Agrobank, Alliance Bank, AmBank, Bank Islam, CIMB Bank, OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan UOB Bank.

Menurut Ramli, pihaknya amat menghargai peranan kakitangan perbankan dalam bersama-sama membanteras taktik penipuan.

Jelasnya, sokongan daripada sektor perbankan khususnya dari segi perkongsian maklumat dan kepakaran adalah penting bagi melaksanakan inisiatif mencegah jenayah komersil termasuk penipuan.

"Pada tahun 2024, PDRM telah berjaya melakukan 24,388 serbuan di seluruh negara dengan 25,829 individu yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah komersil termasuk penipuan ditahan.

"Sebanyak 16,813 kes berjaya didakwa di mahkamah dan pencapaian ini diperoleh melalui kerjasama berkesan antara PDRM dan sektor perbankan di mana komitmen bersama untuk menangani penipuan terus membuahkan hasil yang positif," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!