KKM sukar seimbangkan kekosongan jawatan, lokasi

Lukanisman
Lukanisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan kesukaran mewujudkan keseimbangan antara jumlah kekosongan perjawatan dan lokasi penempatan yang tidak memenuhi citarasa pemohon terutamanya jururawat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia berikutan ramai dalam kalangan bakal jururawat mengisi kekosongan jawatan dengan harapan untuk ditempatkan di lokasi berhampiran dengan kampung atau negeri kelahiran mereka.

"Apabila tawaran yang diberikan tidak menepati cita rasa pemohon (atau) mendapat tawaran kerja kerajaan, kebanyakannya ingin ditempatkan di kampung sendiri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"KKM berdepan dengan masalah kekurangan jururawat seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor. Ini memberi cabaran kerana penempatan tersebut khusus untuk menampung keperluan negeri berkenaan," katanya ketika sesi Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai pengisian perjawatan di KKM, terutama jururawat di beberapa negeri.

Dalam pada itu Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti menjelaskan, faktor perpindahan ke sektor swasta dan peletakan jawatan dalam kalangan jururawat di bawah KKM turut mendorong peningkatan kekosongan perjawatan berkenaan.

"Berdasarkan rekod, hampir 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk keluar dalam tempoh lima tahun dengan 27.98 peratus kerana masalah peribadi dan ia peratusan tertinggi.

"Ada juga memilih untuk keluar (berpindah ke sektor swasta) iaitu 18.22 peratus atau 390 orang daripada angka berkenaan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Lukanisman memaklumkan, angka kekosongan perjawatan jururawat bukan hanya berlaku di fasiliti semasa, sebaliknya diwujudkan bagi memenuhi keperluan fasiliti baharu.

Justeru menurutnya, KKM akan memulakan eksesais untuk memohon perjawatan berkenaan apabila pembangunan mana-mana projek mencapai tahap 85 peratus siap.

"Masalah yang berlaku di lapangan adalah kadang-kadang hospital berdepan masalah (projek) hospital sakit seperti di Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang. Terdapat kekosongan tetapi fasiliti tidak tersedia walaupun kita menjanjikan fasiliti terbabit siap.

"Sama seperti fasiliti di Miri (Sarawak) yang mana kita mempunyai angka yang sudah diluluskan, tetapi sehingga kini hospital tambahan belum beroperasi. Ini menyebabkan kita dilihat tidak mengisi kekosongan berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!