Wanita rugi lebih RM53,000 ditipu sindiket kerja sambilan

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang perunding tenaga kerja muda untuk menambah pendapatan menerusi kerja sambilan berakhir dengan kerugian mencecah RM53,857 akibat menjadi mangsa penipuan sindiket kerja palsu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, wanita berusia 21 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Pelangi Indah, di sini pada Ahad, setelah menyedari dirinya ditipu.
Menurut Raub, kejadian disyaki bermula pada 8 Februari, apabila mangsa menerima tawaran kerja sambilan menerusi aplikasi Instagram.
"Tawaran tersebut kemudiannya diteruskan melalui aplikasi WhatsApp, di mana mangsa diperkenalkan dengan satu laman sesawang yang kononnya menawarkan tugasan promosi produk.
“Mangsa diminta mengisi maklumat peribadi untuk memulakan tugas dan diarahkan membuat beberapa bayaran terlebih dahulu bagi melengkapkan tugasan promosi tersebut selain turut dijanjikan komisen lumayan dan pulangan modal bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana sepanjang tempoh 8 hingga 16 Februari, mangsa membuat sembilan transaksi berjumlah RM53,857 ke lapan akaun bank berbeza seperti yang diarahkan, namun, sehingga kini, bukan sahaja komisen tidak diterima, malah mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan.
"Curiga dengan keadaan itu, mangsa akhirnya sedar dirinya menjadi mangsa scam dan tampil membuat laporan polis," katanya.
Tambah Raub, hasil semakan melalui pangkalan data Mule CCID mendapati kesemua lapan akaun bank yang terlibat mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penipuan sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian, terutama yang melibatkan bayaran pendahuluan, bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan siber.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
